KUALA LUMPUR: Transformasi industri buluh perlu dilakukan secara holistik bagi mewujudkan suasana yang kondusif agar peralihan struktur industri daripada berorientasikan kecil-kecilan kepada industri hiliran yang mengeluarkan produk buluh bernilai tambah tinggi dapat dicapai.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menggesa agar semua pihak yang terlibat secara langsung dengan pembangunan industri itu mengambil langkah proaktif bagi memastikan pembaharuan berlaku dalam rantaian pengeluaran daripada industri huluan sehingga peringkat hiliran.

"Dalam konteks ini, penghasilan produk buluh yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi perlu diutamakan, menerusi inovasi, pembangunan modal insan dan teknologi yang terkini. Aspek ini hendaklah sentiasa diterapkan dalam kalangan semua pihak seperti usahawan, profesional, penyelidik, pereka bentuk, penggubal dasar dan pihak lain yang berkaitan.

"Saya yakin dengan program penyelidikan, pembangunan dan galakan yang berterusan, industri buluh berupaya mengoptimumkan penggunaan sumber bahan mentah ini sebagai sumber alternatif dalam industri perkayuan," katanya ketika merasmikan sambutan Hari Buluh Sedunia Malaysia 2023 (WBD 2023) di sini pada Khamis.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata Malaysia mempunyai lebih kurang 70 spesies buluh, dan 45 daripada spesies berkenaan merupakan spesies tempatan yang tumbuh secara semula jadi di kawasan hutan.

"Dari segi taburan penanaman, sebanyak 31 peratus tanaman buluh terdapat di Semenanjung Malaysia, 45 peratus di Sarawak dan 24 peratus di Sabah.

"Di Semenanjung Malaysia, keluasan taburan tanaman buluh adalah lebih kurang 229,122.57 hektar. Walaupun dari segi sumbangan nilai eksport produk ini tidak besar berbanding produk perkayuan lain, ia mempunyai potensi yang sangat besar untuk dimajukan dan digunakan sebagai bahan altenatif kayu untuk pelbagai jenis aplikasi," katanya.

Beliau dalam pada itu menyarankan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) dalam membangunkan industri buluh negara.

Fadillah berkata pada tahun lepas, nilai eksport produk buluh berjumlah RM14.46 juta iaitu peningkatan sebanyak 66.1 peratus berbanding tahun sebelumnya yang berjumlah RM8.7 juta, manakala nilai import produk buluh bagi 2022 adalah sebanyak RM129.18 juta dengan kebanyakannya diimport dari China, Indonesia dan Vietnam.

"Pada masa kini, terdapat sebanyak 577 pengusaha yang terlibat secara langsung dalam industri berasaskan buluh di Malaysia merangkumi industri papan buluh, perabot, pembinaan, tekstil, perladangan, makanan dan arang serta kraf tangan," katanya.

Beliau berkata bagi memastikan industri buluh terus berkembang maju, Kementerian Perladangan dan Komoditi menerusi MTIB membangunkan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2021-2030 yang memfokuskan kepada lima teras strategik.

Lima teras berkenaan ialah Pengukuhan Dasar dan Perluasan Sumber; Peningkatan Modal Insan, Kepakaran dan Kapasiti; Pengukuhan Inovasi, Teknologi dan R&D&C (penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan); Pemerkasaan Rantaian dan Jaminan Kualiti; dan Pengukuhan Strategi Pemasaran dan Perkongsian Pintar.

Pada majlis itu, Fadillah turut melancarkan buku bertajuk "Industri Arang Buluh di Malaysia" yang diterbitkan bersama MTIB dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) FRIM Dr Norwati Muhammad.

-- BERNAMA