MAHASISWA wajar memanfaatkan peluang yang wujud dalam suasana politik negara yang bertambah matang untuk memainkan peranan berkesan.

Transformasi positif ini didorong pindaan tiga rang undang-undang termasuk Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2012; Rang Undang-Undang Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan) 2012 dan Rang Undang-Undang Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) (Pindaan) 2012 yang dilulus parlimen tahun lalu.

Pindaan berkenaan secara langsung mengiktiraf peranan mahasiswa untuk terlibat dalam aktiviti persatuan, badan atau kumpulan termasuk parti politik ketika di luar kampus.

Mungkin ramai beranggapan mahasiswa senang dipengaruh. Sebaliknya, mereka seharusnya diberikan pilihan dan pendedahan dengan segala maklumat politik yang sah.

Apa yang diperlukan mahasiswa adalah peluang untuk bersuara dan diiktiraf di peringkat lebih tinggi.

“Untuk Pillihan Raya Umum (PRU) ke-13 ini, kita dijanjikan dengan satu pilihan raya yang sangat berbeza dan keputusannya lebih membawa erti kepada masa hadapan rakyat.”

Itu antara pandangan dilontarkan mahasiswa Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Hadri Bin Che Rahalim ketika ditanya mengenai perjalanan PRU ke-13.

Menurutnya, pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) memberi kelebihan kepada mahasiswa untuk terlibat secara aktif dalam politik luar kampus.

Hadri juga berpendapat, PRU kali ini bakal mencipta transformasi politik yang besar terhadap golongan mahasiswa.

Berbeza pula dengan Muhammad Amir Fiqri, pelajar jurusan Pengurusan Pejabat ini berpendapat, corak pilihan raya yang aman tanpa sebarang provokasi menjadi keutamaan.

“Kita sebagai rakyat Malaysia harus keluar mengundi dan peratusan yang keluar mengundi perlu meningkat serta lebih baik daripada PRU ke-12,” katanya ketika ditemui Astro Awani.

Tinjauan ringkas ini dengan jelas menunjukkan satu tahap kematangan baru di kalangan mahasiswa. Sekiranya benih yang sudah disemai ini dibajai, satu masa nanti, mereka akan menjadi asas kukuh tegakknya transformasi politik negara.