KUALA LUMPUR: Agihan keuntungan Lembaga Tabung Haji (TH) sebanyak 3.50 peratus bagi tahun kewangan 2025 yang diumumkan pada Mac lepas, bukan sekadar satu pencapaian angka, malah membuktikan keberkesanan proses pemulihan dan transformasi institusi itu susulan dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Laporan RCI Mengenai TH yang diterbitkan pada 29 Julai lepas mendedahkan pelbagai penemuan mengenai kelemahan pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020, sekali gus membawa kepada langkah pembetulan drastik.
Usaha memperkukuh TH kini menyaksikan 75 peratus daripada syor RCI telah berjaya dilaksanakan, manakala kerajaan komited mempercepat baki 25 peratus lagi selaras dengan penambahbaikan dalam aspek tadbir urus, disiplin pelaburan dan pengurusan risiko.
Prestasi terbaik dalam tempoh lapan tahun itu menjadi bukti sahih bahawa model perniagaan sedia ada TH, apabila dikendalikan dengan pengurusan kos berdisiplin serta strategi pelaburan yang mantap, mampu memberikan pulangan mampan kepada pendeposit.
Kejayaan ini sekali gus memberikan keabsahan kepada syor RCI yang menegaskan bahawa TH perlu kekal berperanan sebagai pemegang amanah dana umat Islam tanpa perlu diletakkan di bawah pengawasan pihak luar.
Keputusan Suruhanjaya RCI untuk menolak cadangan pengawasan di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) juga ternyata tepat apabila TH berjaya merekodkan pendapatan pelaburan tertinggi mencecah RM4.64 bilion pada 2025, melonjak daripada RM4.56 bilion pada tahun sebelumnya.
Dengan dana simpanan berjumlah RM88 bilion, TH kini berada pada kedudukan yang sangat signifikan untuk bertindak sebagai pengurus dana berwibawa di peringkat global.
Malah, laporan RCI mengunjurkan potensi dana berkenaan mampu mencecah paras RM100 bilion dalam tempoh dua tahun akan datang, satu sasaran yang dilihat sangat realistik berdasarkan trajektori pertumbuhan semasa.
Disebalik polemik yang pernah melanda, kekuatan jenama TH kekal utuh di mata rakyat dan negara Islam lain.
Pengiktirafan berterusan daripada Kerajaan Arab Saudi terhadap kecemerlangan pengurusan haji Malaysia menjadi tunjang kepada keyakinan 9.7 juta pendeposit untuk terus setia bersama institusi berusia 62 tahun itu.
Menurut Laporan RCI, TH mempunyai sejarah panjang dalam menguruskan simpanan umat Islam dan operasi haji, sekali gus memberikan asas kukuh untuk institusi berkenaan terus diperkasakan melalui pembaharuan bersesuaian tanpa menjejaskan fungsi utamanya.
Aspek pemulihan TH juga diserlahkan melalui imbangan antara keuntungan pelaburan dan tanggungjawab sosial menerusi pelunasan zakat berjumlah RM95.3 juta bagi 2025, selain menyantuni lebih 726,000 asnaf di seluruh negara melalui Program Zakat Wakalah.
Justeru, pengekalan model perniagaan sedia ada dengan penambahbaikan tadbir urus dan polisi pelaburan di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) menjadi kunci kelestarian TH.
Secara tuntasnya, fasa pemulihan TH kini berada pada tahap matang dengan naratif 'Institusi Ummah' yang pernah tercalar kembali bersinar, sekali gus membuktikan bahawa integriti serta disiplin kewangan tinggi berjaya membebaskan institusi itu daripada terus dibayangi isu legasi lampau.
-- BERNAMA