KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan belum menerima sebarang makluman berhubung dakwaan terdapat ejen Korea Utara menjadikan negara ini sebagai transit penyeludupan barangan dari negara luar.

Sebaliknya jelas Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri pihaknya tidak mahu mengeruhkan keadaan berhubung dakwaan itu.

“Setakat hari ini,  kita tidak dengar apa-apa berkaitan perkara tersebut. Kalau melibatkan negara luar baik dapatkan dari Kementerian Luar.

“Saya belum dapat laporan perkara (ini) dari risik.

“Kadang-kadang mereka gempar sahaja, kita jangan melompat, terlalu cepat memberi jawapan mengeruhkan suasana,” katanya ketika ditemui di Kem Perdana Sungai Besi pada Jumaat.

Terdahulu, sebuah laporan media dipetik berkata bahawa ejen risikan Korea Utara menjadikan Malaysia sebagai negara transit untuk menyeludup barangan mewah dan senjata.

Malah terdapat juga ejen negara itu yang masih berada di Malaysia ketika ini menggunakan pengenalan dan pasport palsu untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kegiatan mereka kini terganggu susulan tindakan Malaysia menamatkan kerjasama diplomatik dengan negara itu.

Laporan itu turut memetik kegiatan terbabit telah dijalankan sejak sedekad lalu melibatkan penyeludupan dari negara Asia Barat dan Afrika.