TAIPING: Jumlah kehadiran pengunjung ke negeri Perak masih di tahap yang memuaskan, meskipun trend kini menunjukkan rakyat cenderung memilih Thailand sebagai lokasi percutian.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi mengakui situasi itu sudah dijangka selepas sempadan dibuka semula 1 April lalu.

Ini kerana, katanya, sebelum COVID-19 melanda, rakyat Malaysia dilihat cenderung bercuti ke luar negara tetapi kini ia agak berkurangan susulan faktor ekonomi serta wabak yang belum berakhir.

Bagaimanapun, beliau yakin Perak masih menjadi negeri pilihan bagi lokasi percutian, khususnya buat pengunjung domestik.

"Saya rasa kesan (trend bercuti ke Thailand) itu semua negeri rasa, sebab sempadan pun sudah dibuka semula.

"Mungkin ramai rakyat Malaysia memilih untuk ke luar negara, jadi perkara ini kita memang sudah jangka akan berlaku selepas pandemik.

"Tetapi kita dapati kedatangan pengunjung ke sini (Perak) masih baik, dan diharapkan trend ini tidak berkurangan tahun depan, apabila sempadan dibuka secara meluas.

"Perak boleh tarik pengunjung bagi percutian pendek di hujung minggu misalnya, memang ramai ke sini," katanya.

Nolee Ashilin berkata demikian pada sidang media sebagai mengulas trend rakyat Malaysia yang bercuti ke Thailand, baru-baru ini.

Nolee Ashilin yakin Perak masih menjadi negeri pilihan bagi lokasi percutian, khususnya buat pengunjung domestik. - Astro AWANI

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Makan Malam dan Penyampaian Hadiah Sempena Festival Global Taiping dan Pertandingan Tarian Singa 2022, di sini malam tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa dan Pengerusi Festival Global Taiping, Raja Omar Ikram Raja Abdullah Omar.

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan segelintir pihak yang merungut bahawa kos dan harga untuk melancong di beberapa lokasi di negara ini lebih mahal berbanding Thailand, Nolee Ashilin berkata ia masih terkawal di Perak.

Malah, menurutnya lagi, setakat ini pihaknya sentiasa membangunkan dan menguar-uarkan pakej percutian khusus buat pengunjung ke Perak.

"Fenomena ini biasa, mungkin ramai yang melihat destinasi pilihan mereka jauh lebih murah berbanding di Malaysia.

"Tapi saya pasti baru-baru ini, contoh yang diambil seperti di Pulau Langkawi agak berbeza daripada Perak.

"Kita dapati di Perak, kadarnya memang masih lagi sangat berpatutan daripada kos makanan dan penginapan. Pada saya, ini semua pilihan.

"Kami selalu promosikan daripada pakej, iaitu tempat kita boleh dapat diskaun, dan kerajaan juga beri subsidi menerusi baucar.

"Di Langkawi, mungkin sebab faktor kurang pekerja, kos logisitik tinggi. Kalau kita bandingkan harga di Pulau Langkawi dan Pangkor juga jauh beza, setakat ini saya belum dapat rungutan yang kata harga di sini (Perak) terlampau mahal," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap supaya rakyat Malaysia dapat mengutamakan produk pelancongan tempatan, bagi membantu pengusaha perkhidmatan dan pelancongan.

Baru-baru ini media melaporkan, Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) dan stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad Padang Besar sesak teruk berikutan orang ramai mengambil kesempatan sempena cuti Hari Malaysia dan hujung minggu untuk ke Thailand.

Thailand dijangka menerima tujuh hingga 10 juta pelancong asing tahun ini selepas melonggarkan sekatan akibat pandemik COVID-19, manakala seramai 647,648 rakyat Malaysia direkodkan datang ke Thailand untuk lapan bulan pertama tahun ini.