KUALA LUMPUR: Tribunal bagi Antibuli (TAB) telah menerima 55 aduan dengan lima kes telah diputuskan melalui award setakat semalam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata antara award yang diberikan termasuk permohonan maaf kepada mangsa, penyertaan dalam program kaunseling serta pembayaran ganti rugi sebanyak RM2,000 dalam satu kes.
“Ini mencerminkan pendekatan TAB yang bukan semata-mata berorientasikan hukuman, tetapi turut menekankan pemulihan mangsa dan pembetulan tingkah laku pelaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azalina berkata selain kerangka perundangan, keberkesanan isu buli turut bergantung kepada keberanian masyarakat untuk bersuara dan bertindak.
Beliau berkata mangsa perlu tampil mendapatkan bantuan, manakala mereka yang menyaksikan kejadian buli pula harus berani bersuara kerana buli bukanlah gurauan dan tidak boleh dinormalisasikan dalam apa jua keadaan.
Dalam pada itu, Azalina berkata selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk menangani gejala buli secara serius dan menyeluruh, beliau telah melancarkan Program Literasi Akta Antibuli 2026 (Akta 876) dan Peranan TAB di Maktab Tentera Diraja (MTD) Sungai Besi hari ini.
Program itu merupakan sebahagian usaha kerajaan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat khususnya generasi muda mengenai perlindungan yang tersedia di bawah Akta 876 serta fungsi dan peranan TAB, termasuk tatacara membuat aduan, proses pendengaran dan bentuk remedi kepada mangsa.
-- BERNAMA