KUALA LUMPUR: Trigeminal Neuralgia, juga dikenali sebagai 'penyakit bunuh diri' akibat rasa teramat sakit, ialah penyakit neurologi yang menjejaskan kehidupan seseorang jika dibiarkan tanpa rawatan.

Meskipun jarang berlaku, penyakit ini yang turut dikenali sebagai penyakit Tic douloureux, telah menyerang ramai individu di seluruh dunia termasuk selebriti seperti George Clooney dan Salma Hayek.

Antara ciri-ciri utama trigeminal neuralgia ialah kesakitan yang datang tiba-tiba, rasa sakit yang tajam atau seperti tikaman atau seperti terkena renjatan elektrik, terutamanya pada bahagian rahang atau muka.

Pakar Perunding Bedah Saraf di Pusat Perubatan Sunway, Sunway City, Dr Syed Abdullah Al-Haddad berkata penyakit yang sering 'terlepas pandang' atau disalah erti ini, boleh muncul secara berulang atau sekejap, dan boleh berlanjutan dari beberapa saat hingga beberapa minit serta boleh berlaku beberapa kali hingga ratusan serangan sehari.

Lebih banyak berlaku dalam kalangan wanita, beliau berkata kesakitan tajam dan seperti kejutan elektrik pada sebelah muka sering disalah tafsir dan disalah diagnosis.

"Pesakit menanggung kesakitan bertahun-tahun yang disifatkan seorang daripada mereka sebagai lebih sakit daripada sakit bersalin. Kadangkala pesakit terpaksa pergi banyak tempat untuk mencari penyelesaian," katanya kepada Bernama semalam.

Dr Syed Abdullah berkata mengikut pengalamannya kebanyakan pesakit yang dirujuk kepada beliau dan didiagnosis, telah hidup dalam kesakitan untuk tempoh yang cukup lama.

Seorang pesakit katanya telah mencabut seluruh gigi pada sebelah bahagian rahang kerana didiagnosis sebagai sakit gigi sebelum dikenal pasti penyakitnya sebagai Trigeminal Neuralgia.

"Trigeminal Neuralgia 'tak pilih bulu', menyerang mana-mana individu terutama mereka dalam usia 40 hingga 50 tahun, ia bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan fizikal, malah mempengaruhi kesihatan mental dan kualiti hidup.

"Dalam mereka menanggung kesakitan yang amat sangat, ada pesakit yang berhenti bercakap atau langsung tidak meneruskan kehidupan seperti biasa. Simptom-simptom dialami turut mengganggu keupayaan mereka untuk bekerja, menjejaskan hubungan dan ada yang percaya pesakit sudah gila atau membesar-besarkan kesakitan mereka dan ini membawa kepada kemurungan serta masalah tidur," katanya.

Meskipun perlu mengharungi tempoh sukar sebelum dapat didiagnosis dengan tepat, namun sebaik sahaja dikenal pasti, penyakit ini boleh dirawat dengan efektif, katanya.

"Cabaran terbesar untuk pesakit ialah mendapatkan diagnosis yang tepat. Seringkali, penyakit ini disalah diagnosis pada mulanya sebagai masalah gigi atau isu berkaitan telinga, hidung dan tekak. Oleh sebab itu, amat penting mendengar simptom-simptom dialami pesakit dan memahami ciri-ciri kesakitan mereka," katanya.

Beliau berkata pilihan rawatan termasuk ubat untuk menghalang signal kesakitan atau kaedah pembedahan radio stereotatik iaitu sejenis prosedur tidak invasif (tanpa memotong).

Kaedah pembedahan ini memfokuskan radiasi kepada akar saraf trigeminal bagi melemahkan signal kesakitan dengan tempoh masa sembuh yang lebih pendek, selain pembedahan untuk melepaskan tekanan pada saraf trigeminal.

Dr Syed Abdullah menekankan kepentingan memupuk kesedaran serta mendidik golongan profesional kesihatan dan orang awam mengenai Trigeminal Neuralgia, bagi memastikan mereka yang menderita penyakit ini mendapat bantuan yang diperlukan dan tidak perlu lagi terseksa dalam diam.

-- BERNAMA