Para penganalisis politik bersetuju bahawa ' Tsunami Cina', iaitu satu istilah yang dicipta selepas peralihan undi majoriti masyarakat Cina daripada Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas, masih wujud dan akan kembali melanda Kajang semasa pilihan raya kecil (PKR) di situ.

Ketua Pegawai Eksekutif Centre for Strategic Engagement Fui K. Soong berkata beliau tidak percaya undi orang Cina akan kembali kepada BN.

"Harapan untuk perubahan masih kuat di kalangan pengundi Cina lebih-lebih lagi apabila Ketua Pembangkang ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjanjikan perubahan.

"Dalam pilihan raya lepas pun, orang Cina telah menyatakan sokongan mereka untuk perubahan walaupun BN meletakkan calon Cina di Kajang. Bagi kaum Cina, ini bukan tentang kaum tetapi tentang perubahan," katanya.

Penganalisis politik Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata 'Tsunami Cina' masih wujud dan PKR Kajang bakal menjadi ujian bagi MCA.

"Ini adalah kerana semasa PRU ke 13, BN serta parti-parti komponennya ditolak habis-habisan dan faktor itu masih wujud sekarang.

"Walaubagaimanapun, lapan bulan selepas PRU ke 13, kita boleh menilai sokongan masyarakat Cina semasa PRK ini, terutamanya jika MCA mempunyai satu strategi baru.

"Dengan kepimpinan baru di MCA, di mana Naib Presiden Datin Paduka Chew Mei Fun diletakkan untuk bertanding dengan pembangkang, kita mungkin akan dapat melihat perubahan," katanya.

Penganalisis politik James Chin berkata bahawa beliau 100 peratus yakin bahawa undi orang Cina akan pergi kepada pembangkang tidak kira apa BN lakukan untuk menangi undi-undi itu kembali.

"Saya tidak akan memanggil peralihan undian ini sebagai 'Tsunami Cina' tetapi sebaliknya ia adalah satu 'Tsunami bandar'. Orang Cina masih sangat marah dengan BN.

"Oleh itu, mereka pasti akan menolak MCA dan menerima pembangkang," katanya.

Turut bersetuju dengan sentimen ini, Pengarah UMCEDEL, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata pengundi cina masih kurang memberi sokongan kepada kerajaan.

PRK Kajang akan diadakan pada 23 Mac, manakala 11 Mac telah ditetapkan sebagai hari pencalonan.
PKR itu dicetuskan oleh peletakan jawatan ahli Dewan Undangan PKR Lee Chin Cheh pada 27 Januari.

Dalam PRU ke-13, Lee mendapat 19,571 undi diikuti oleh Lee Ban Seng dari BN dengan 12,747 undi.
Mohamad Ismail dari Berjasa pula memperoleh 1,014 undi.

Tiga calon bebas yang bertanding kerusi itu ialah Mohd Iwan Jefrey Abdul Majib (249 undi), Ong Yan Foo (85 undi) dan Mohd Khalid Kassim (83 undi).

Lee memenangi kerusi itu dengan 6,824 undi majoriti.

Kajang adalah kawasan yang mempunyai 48 peratus orang Melayu, 41 peratus orang Cina dan 10 peratus orang India.

Kawasan itu mempunyai 39,278 pengundi termasuk 1,197 pengundi awal.