SERI MENANTI: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir mengingatkan Menteri Besar dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya sentiasa mematuhi serta menzahirkan taat setia kepada Institusi Diraja dalam melaksanakan amanah mentadbir negeri.
Bertitah pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti pada Ahad, baginda turut menegaskan kepentingan memelihara kedaulatan Perlembagaan Negeri Sembilan serta mengiktiraf kuasa yang terletak pada Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan.
“Beta juga ingin mengingatkan Menteri Besar dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri untuk sentiasa mematuhi dan taat setia kepada Institusi Diraja serta melindungi dan memelihara kedaulatan Perlembagaan Negeri Sembilan di samping mengiktiraf kuasa yang terletak kepada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan,” titah baginda.
Tuanku Muhriz pada upacara istiadat hari ini berkenan melantik ADUN Juasseh, Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu selepas gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memperoleh majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri susulan PRN Negeri Sembilan.
Baginda menzahirkan keyakinan bahawa Ismail akan terus berkhidmat dengan penuh kesungguhan dan kejujuran, selain meneruskan kecemerlangan pentadbiran yang telah ditunjukkan sebelum ini serta menambah baik sebarang kelemahan.
“Bagi menyempurnakan istiadat pada pagi ini, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, Beta dengan sukacitanya melantik Yang Berhormat Ismail bin Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Beta menaruh kepercayaan kepada beliau untuk terus berkhidmat dengan bersungguh-sungguh dan jujur.
"Beta berpesan agar kecemerlangan yang telah ditunjukkan pada penggal yang lalu diteruskan dan diperbaiki sekiranya ada terdapat sebarang kelemahan,” titah Baginda lagi.
Mengakhiri titah, Tuanku Muhriz turut menyeru seluruh rakyat agar terus menghormati kepelbagaian agama, kaum dan budaya serta memupuk nilai saling memahami, hormat-menghormati, toleransi dan semangat muafakat.
Menurut baginda, nilai-nilai tersebut merupakan asas penting dalam memperkukuh perpaduan, memelihara keharmonian dan memastikan Negeri Sembilan terus kekal aman, makmur serta sejahtera untuk generasi masa kini dan akan datang.