Sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Gabungan Urus Tadbir, Intergriti, Akauntabiliti dan Ketelusan (GIAT) menggesa agar Suruhanjaya Penyiasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menjawab segala persoalan berkaitan syarikat pelaburan strategik kerajaan 1MDB.

GIAT turut menggesa segala tindakan menghalang kompetensi dan kebolehan pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihentikan segera dan membenarkan mereka menjalankan siasatan tanpa rasa takut dan berpihak.

GIAT berkata dengan pembubaran pasukan petugas khas menyiasat 1MDB, serbuan agensi berkaitan, pertukaran peguam negara secara tiba-tiba dan penangguhan siasatan 1MDB oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), menyebabkan integriti institusi awam utama kini kian terhakis.

"Pada masa akan datang perlu dipastikan tiada tindakan daripada pihak berkuasa yang dilihat sebagai ancaman atau gangguan kepada pihak penyiasat.

"Tindakan tersebut menyebabkan keyakinan rakyat terhadap SPRM terhakis," kata kata Timbalan Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Dr KM Loi yang mewakili GIAT dalam sidang media di sini, hari ini.

GIAT terdiri daripada Pusat Membasmi Rasuah dan Kronisme (C4), Rakan Kota Damansara, Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS), Transparency International Malaysia (TI-M) dan Projek Sinar.

BACA: Langkah kembalikan pegawai kanan ke SPRM satu tindakan wajar - Khairy

BACA: Nazir muat naik imej individu penting SPRM

BACA: Kronologi: SPRM dan siasatan ke atas 1MDB


Sementara itu, Ketua Eksekutif IDEAS, Wan Saiful Wan Jan berkata cadangan penubuhan RCI dilihat satu keperluan, lebih-lebih lagi selepas pegawai SPRM disoal siasat ketika mereka sedang melakukan penyiasatan.

"Sentimennya ialah SPRM sendiri telah disiasat dan ini menimbulkan persoalan sama ada polis dipercayai atau tidak.

"Kalau kita tidak menubuhkan Suruhanjaya Penyiasatan Diraja, apa lagi yang boleh dilakukan?" katanya sambil menegaskan menubuhan RCI sebagai jalan terakhir.

"Hakikat bahawa cadangan ini diutarakan adalah sangat menyedihkan kerana ia melambangkan ketidakpercayaan kami," katanya.

Mengulas isu sama Pengarah Eksekutif C4, Cynthia Gabriel berkata walaupun tiada jaminan RCI mampu menjawab segala persoalan yang berlegar ketika ini, namun ia merupakan cadangan terbaik.

Pada Jumaat, Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Strategik Komunikasi Datuk Rohaizad Yaakob ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri selepas beberapa siri tangkapan dan soal siasat terhadap pegawai SPRM berhubung dakwaan kebocoran maklumat rasmi.

Arahan itu kemudiannya dibatalkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa yang menjelaskan, keputusan itu dibuat selepas kedua-duanya memberikan penjelasan mengenai tindakan mengeluarkan kenyataan media.

"Susulan dengan penjelasan tersebut, saya membuat keputusan membatalkan pertukaran kedua-dua pegawai ke JPM dan kembali ke jawatan asal masing-masing di SPRM berkuat kuasa 10 Ogos 2015," kata Ali Hamsa memaklumkannya dalam satu kenyataan pada Isnin.