KUALA LUMPUR: Polis menahan tujuh individu dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan pembelian barang dalam talian (calling center) dalam serbuan di dua unit kediaman di Persiaran KLCC di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata semua suspek yang ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 4.20 petang itu terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan, serta empat lelaki dan dua wanita warga asing berumur lingkungan 22 hingga 28 tahun.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket itu telah beroperasi selama hampir sebulan dan menyasarkan mangsa di China dan Amerika Syarikat.

"Sindiket itu menggunakan aplikasi media sosial bagi mempromosikan kegiatan mereka selain memperdayakan mangsa dengan menawarkan keuntungan pembelian melalui tiga pakej pilihan yang menjanjikan keuntungan 10 hingga 40 peratus.

"Mangsa yang terpedaya akan diminta membuat transaksi bayaran menggunakan mata wang kripto dan dalam serbuan itu, polis turut merampas satu set komputer, 15 telefon bimbit, lima laptop dan masing-masing satu modem, kad akses dan rangkai anak kunci," katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Dellhan berkata kesemua individu ditahan itu direman selama tiga hari mulai hari ini hingga Jumaat dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 120B/420/511 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA