JOHOR BAHRU: Tujuh projek pembangunan dan peningkatan fasiliti kesihatan dengan keseluruhan bernilai RM1.139 bilion sedang dilaksanakan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan hospital berkenaan.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata antara projek berkenaan adalah kerja menaik taraf bekalan utama elektrik dan sistem elektrikal serta mekanikal yang bernilai RM159 juta dengan kemajuan fizikal sebanyak 76.49 peratus.
Beliau berkata turut dilaksanakan pembinaan Pusat Rawatan Harian (ACC), termasuk parkir bertingkat serta Kompleks Klinik Pakar HSA Fasa 1 dan Fasa 2 dengan keseluruhannya bernilai RM877.54 juta, yang akan memberi peningkatan ketara kepada kapasiti perkhidmatan hospital.
“Surat Setuju Terima bagi (pelantikan kontraktor) projek berkenaan (ACC, parkir bertingkat dan Kompleks Klinik Pakar) disasarkan pada Februari tahun depan.
“Butiran (tempoh pelaksanaan kesemua projek) adalah berbeza-beza dan sudah pasti cabaran kita adalah memastikan bahawa pelaksanaannya tidak memberi gangguan yang sangat ketara kepada perkhidmatan hospital,” katanya pada sidang media selepas meninjau projek pembangunan di HSA sempena lawatan kerja ke Johor, di sini hari ini.
Akmal Nasrullah berkata tiga bilik dewan bedah baharu juga bakal dibina di hospital itu, sekali gus akan bertambah menjadi 15 bilik dewan bedah daripada 12 bilik dewan bedah sedia ada.
Terdahulu, Akmal Nasrullah berkata lawatan kerja rasminya ke Johor hari ini bagi menilai kemajuan projek pembangunan utama serta memperkukuh penyelarasan antara kementerian dan agensi pelaksana.
Beliau berkata secara keseluruhan sebanyak 613 program dan projek pembangunan bernilai RM56.12 bilion telah dan sedang dilaksanakan di Johor sejak 2000 hingga tahun ini, merangkumi 154 projek baharu dan 459 projek sambungan.
"Setakat (awal tahun hingga) 27 Julai lepas, sebanyak RM2.5 bilion atau 50.51 peratus daripada peruntukan RM4.95 bilion bagi tahun ini telah dibelanjakan," katanya.
Beliau berkata keutamaan kementeriannya adalah memastikan segala pelaksanaan projek pembangunan dan kemudahan dapat disiapkan dengan lancar untuk manfaat rakyat.
-- BERNAMA