SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan telah mengenal pasti tapak pembinaan rumah baharu bersesuaian di Kampung Puom, Jelebu untuk tujuh keluarga yang kehilangan rumah akibat bencana banjir baru-baru ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kerajaan Persekutuan menyediakan kos RM56,000 bagi sebuah rumah manakala kerajaan negeri menyediakan tapak pembinaan rumah tersebut seperti diputuskan dalam mesyuarat bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

"Kerajaan negeri menyediakan tapak... pembinaan rumah diuruskan oleh kerajaan Persekutuan. Saya telah meminta pejabat daerah Jelebu selaraskan segera perkara ini," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2022 di Wisma Negeri di sini hari ini.

Terdahulu, Aminuddin mengumumkan RM397.4 juta hasil negeri telah dikutip hingga 31 Disember lepas.

Dalam pada itu, beliau berkata tapak rumah baharu di Kampung Puom tersebut berada di kawasan tinggi dan tidak mengalami banjir baru-baru ini serta selamat diduduki oleh penduduk yang terkesan itu.

Namun, sekiranya tujuh keluarga itu yang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Kampung Puom, tetap mahukan tapak lama, pihaknya bersedia berbincang melihat kepada kesesuaian kerana tidak mahu penduduk berdepan banjir berulang pada masa akan datang.

"Pejabat daerah Jelebu juga menawarkan mereka tinggal di chalet milik Majlis Daerah Jelebu berhampiran situ dan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) turut menawarkan penduduk tersebut tinggal di kuarters yang berada di kampung tersebut," katanya.

Mengulas mengenai situasi banjir di daerah Tampin dan Jempol yang melibatkan mangsa sehingga mencecah lebih 1,000 orang, Aminuddin menggesa jabatan kerajaan dan agensi berkaitan melihat PPS bersesuaian untuk menempatkan mangsa banjir di dua daerah itu.

"Kita perlu ingat di Gemas melibatkan jumlah mangsa banjir yang ramai, terdapat satu PPS menempatkan 800 mangsa, di situ sepatutnya kita ambil iktibar untuk melihat kesesuaian tempat. Agensi terlibat perlu memberikan kemudahan kepada masyarakat dan tindakan segera perlu diambil," katanya.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata bekalan elektrik di menara telekomunikasi Telekom Malaysia (TM) di Gunung Telapak Buruk, Jelebu akan pulih dalam masa dua hari lagi.

Katanya, walaupun kerja pembersihan belum selesai dilakukan, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menghantar kabel elektrik bagi kerja membaik pulih di menara tersebut.

"Runtuhan tanah di kawasan tersebut panjang dan berselut tinggi...saya juga dimaklumkan pergerakan tanah di kawasan itu paling aktif sehingga kini," katanya.

Laluan utama ke menara tersebut kini terputus selepas berlakunya tanah runtuh dan pokok tumbang susulan hujan lebat yang berterusan pada 18 Disember lepas.

Media sebelum ini melaporkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut memberi bantuan dengan menghantar 10,000 liter minyak diesel menggunakan helikopter ke menara tersebut.

-- BERNAMA