KLUANG: Seorang tukang gunting rambut maut selepas motosikal ditunggang bergesel dengan sebuah lori tunda dalam kejadian di Kilometer 95 Jalan Batu Pahat-Mersing dekat sini pada tengah malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian pada jam 12.20 tengah malam itu melibatkan motosikal Yamaha Y15ZR ditunggang mangsa dengan sebuah lori tunda jenis Isuzu FFF90.

"Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal datang dari arah Mersing menghala ke Kluang manakala lori dipercayai dari arah bertentangan.

"Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal dan lori tersebut tbergesel di kawasan tengah jalan berdasarkan serpihan yang berada di garisan berkembar tengah jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, akibat dari perlanggaran itu, mangsa, Mohammad Haziq Haiqal, 18, dari Kahang cedera parah di kepala dan badan sebelah kanan selain tangan kanan terputus dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, pemandu lori berusia 48 tahun dari Pengerang, Kota Tinggi, tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Pemandu lori itu yang takut dipukul orang kampung tidak tunggu di tempat kejadian dan telah memandu terus ke Mersing.

"Dia kemudian datang ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kluang dan buat laporan polis mengenai kejadian yang berlaku," ujar beliau.

Menurut Bahrin, pemeriksaan ujian air kencing akan dilakukan terhadapnya di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah untuk memastikan pemandu lori tersebut tiada dalam pengaruh dadah semasa memandu.

Tambahnya, semasa kemalangan kawasan tersebut gelap tanpa lampu dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Sinar Harian