AMPANG: Seorang tukang kebun ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes kecurian dua bungkusan barangan (parcel) di sebuah pangsapuri di Taman Nirwana di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian pada jam 1.20 tengah hari, pihak kurier dikatakan telah menghubungi pengadu untuk menghantar bungkusan barangan yang dibeli secara dalam talian.

"Pengadu telah menyuruh kurier tersebut meletakkan bungkusan itu di atas meja yang disediakan di lobi lif pangsapuri itu kerana tiada di rumah.

"Pada jam lebih kurang 8.30 malam, semasa pengadu sampai di lobi untuk mengambil bungkusan tersebut didapati telah hilang disyaki dicuri," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohamad Farouk berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 24 tahun di Kampung Pandan pada jam 4.50 petang, Jumaat.

"Kita turut merampas dua bungkusan milik pengadu. Bungkusan itu berisi mata pen IPad dan produk kosmetik yang bernilai RM130," katanya.

Beliau berkata, modus operandi suspek adalah menyasarkan bungkusan yang diletakkan di peti surat rumah.

"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes dadah. Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamin dan amphetamine.

"Suspek direman selama empat hari bermula Sabtu sehingga Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun keseksaan," katanya. - Sinar Harian