SEPANG: Seorang tukang masak ditahan bersama lapan kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine bernilai RM264,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah KLIA ACP Imran Abd Rahman berkata lelaki berusia 25 tahun itu ditahan bersama satu bagasi di Balai Berlepas KLIA Terminal 2, pada 5 pagi.

"Hasil pemeriksaan lanjut terhadap bagasi dibawa suspek telah menjumpai lapan bungkusan plastik lutsinar mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine, yang dibaluti dengan pakaian.

"Hasil semakan yang dijalankan mendapati suspek akan berlepas dari KLIA Terminal 2 ke Bintulu, Sarawak pada 6.30 pagi hari sama," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Imran berkata suspek juga mendedahkan dia datang ke Kuala Lumpur bersama seorang lagi rakan lelakinya pada Sabtu lepas, bertujuan mendapatkan bekalan dadah untuk pasaran Sarawak.

Susulan itu, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri telah menahan seorang lelaki yang juga rakan kepada suspek yang berlepas ke Miri menerusi penerbangan berasingan pada 9 pagi hari sama.

Turut dirampas lapan bungkusan plastik lutsinar mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 8.3kg bernilai RM274,000.

Beliau berkata modus operandi yang digunakan kedua-dua suspek ialah membalut dadah dengan pakaian yang disorokkan dalam bagasi seterusnya menggunakan perkhidmatan daftar masuk sendiri, yang dianggap sukar dikesan pihak berkuasa.

Mengulas mengenai suspek yang ditahan di KLIA Terminal 2, Imran berkata hasil saringan awal mendapati lelaki itu positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dan mempunyai enam rekod jenayah lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

Imran berkata siasatan juga mendapati suspek menerima upah RM8,000 untuk satu perjalanan membawa dadah dari Semenanjung ke Sarawak.

Beliau berkata suspek direman selama tujuh hari bermula Ahad lepas bagi membantu siasatan, dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 5(1) (a) ADB 1952.

"BSJN IPD KLIA akan meneruskan siasatan dengan bantuan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor dan JSJN Bukit Aman untuk mengesan saki-baki ahli sindiket untuk dibawa ke muka pengadilan," katanya.

-- BERNAMA