Seorang tukang masak di Cameron Highlands rugi RM30,000 selepas ditipu oleh sindiket Macau Scam Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata kejadian berlaku ketika lelaki berumur 44 tahun itu menerima panggilan daripada seorang 'anggota polis' dari Balai Polis Simpang Empat, Pulau Pinang.
"Suspek mendakwa mangsa terbabit dengan kes langgar lari membabitkan sebuah kereta sewa di Pulau Pinang.

Mangsa menafikan perkara itu sebelum panggilan itu disambungkan kepada 'Inspektor Damia' dan 'Inspektor Mesh'.
"Selepas diperiksa, 'Inspektor Mesh' mendakwa akaun bank mangsa turut terbabit dengan pengubahan wang haram dan kes itu sudah disiasat oleh Bank Negara serta pihak polis," kata Mohd Wazir, di sini, hari ini.
Mangsa diminta membayar wang ikat jamin sebanyak RM45,000 untuk mengelak dia daripada ditahan.
"Mangsa kemudian mengeluarkan wang dari akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya berjumlah RM30,000 sebelum memasukkan duit berkenaan ke satu akaun yang diberikan oleh suspek.
"Suspek meminta baki RM15,000 wang jaminan itu dijelaskan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Mangsa kemudian menceritakan perkara itu kepada rakannya sebelum dimaklumkan bahawa pengadu sudah kena tipu," kata Mohd Wazir lagi.
Tambahnya, mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.