DUNGUN: Seorang tukang rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya di Bukit Besi, dekat sini, awal bulan ini.

Tertuduh, Mohd Amir Hamzah, 32 tahun, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noradila Ab Latif.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menyebabkan kematian isterinya, Rubiah Sabtu, 41 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Besol, Bukit Besi, antara jam 7.30 pagi dan 8.30 pagi pada 5 April lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh
yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 13 Jun depan untuk sebutan semula kes dan penyerahan laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Athirah Hashim manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Hafizul Faris Che Razlan.

Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita maut dipercayai dipukul dengan tukul besi di kediamannya, selepas berlaku perselisihan faham antara pasangan suami isteri itu.

Kejadian itu menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian muka dan kepala.

Mangsa yang merupakan peniaga runcit kecil-kecilan, mempunyai enam anak hasil perkahwinan terdahulu dan selepas mengahwini tertuduh tahun lepas, mereka mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga bulan.