Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan perkhidmatan urut dan refleksologi sebelum membentangkannya kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM memang berhasrat untuk membenarkan sektor itu kembali beroperasi namun mereka perlu melihat SOP yang boleh diguna dengan lebih teliti sebelum membuat sebarang keputusan.

“Kita telah buka kedai gunting rambut dan salon, kita juga melihat sektor lain. Yang pasti kalau sampai ke penghujung PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan), kalau boleh kita nak buka semua sektor dan nak pastikan jumlah kes tidak meningkat.

“Kalau boleh kita nak kekalkan satu atau dua angka dan kalau boleh, kalau kita dapat turunkan lagi kes, kita akan buka lebih banyak sektor. Kita kena seimbangkan antara kedua-dua perkara itu,” katanya dalam sidang media harian di sini pada Khamis.

Tambah beliau, KKM akan berbincang dengan pelbagai pihak dalam memperkemaskan SOP itu dan mungkin akan membentangkannya kepada MKN pada minggu depan.