BATU PAHAT: Pengurusan enam ketul tulang berdekatan rumah sewa terbiar di Tongkang Pechah yang ditemui pada minggu lalu, perlu dilaksanakan dengan cermat dan tertib.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, tulang manusia yang ditemui selepas jenazah dikebumikan wajib dimandi dan dikafan sebelum dikebumikan.

Bagaimanapun solat jenazah tidak perlu diulangi ke atas tulang yang ditemui itu kerana memadai solat pertama dibuat tempoh hari.

"Mengikut Mazhab Shafie dan jumhur ulama, tulang mayat yang ditemui kemudian selepas selesai tajhiz jenazah dibuat, wajib dimandi, dikafankan.

"Ia kemudian dikebumikan sama ada di kubur bahagian pertama jenazah yang ditajhizkan sekiranya boleh dibuat demikian atau di perkuburan lain, kedua-dua kaedah ini dibenarkan.

"Seperkara lagi, solat jenazah tidak perlu diulang kerana sudah memadai solat itu dibuat terhadap jenazah sebelum ini," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penemuan enam ketul tulang berdekatan rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, minggu lalu.

Media melaporkan, hasil pemeriksaan polis telah menjumpai dua ketul tulang dipercayai tulang bahagian peha, dua ketul tulang bahagian betis dan dua ketul tulang bahagian keting di lokasi tersebut.

Tulang itu ditemui orang awam yang menjalankan kerja pembersihan di sekitar kawasan itu pada jam 11.30 pagi, 28 Februari lalu.

Lokasi penemuan itu dilaporkan berdekatan rangka milik Bella atau Mila Sharmila Samsusah, 32, yang ditemui selepas dibunuh teman lelakinya, pertengahan Disember lalu.

Pada Rabu, polis dilaporkan belum mengesahkan sama ada tulang itu bilik Bella kerana ujian asid deoksiribonukleik (DNA) di Hospital Sultan Ismail dijangka mengambil masa sebulan. -Sinar Harian