BUKIT MERTAJAM: Gara-gara video bermain meriam karbait tular di media sosial minggu lepas, empat lelaki termasuk seorang remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Muhammad Shahrul Izzuan Kamaruzaman, 28; Muhammad Nawar Md Shariff, 28, dan remaja lelaki berusia 17 tahun itu mengaku bersalah atas pertuduhan menyalakan meriam karbait yang diletakkan dalam paip polivinil klorida (PVC) bertujuan menembak mercun ke udara di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan Permatang Rawa berhadapan Kedai Makan Pokok Nyok, di sini pada pukul 11 malam, 7 April lepas.

Sementara Abd Rahman Noorudin, 33, mengaku bersalah atas pertuduhan menularkan video cara bermain mercun jenis meriam karbait di tempat awam dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM100 masing-masing terhadap Muhammad Shahrul Izzuan, Muhammad Nawar dan Abd Rahman.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 26 Mei ini untuk pendengaran laporan akhlak bagi remaja lelaki bawah umur itu sebelum hukuman dijatuhkan terhadapnya dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum satu bulan atau denda sehingga RM100 atau kedua-duanya, serta Seksyen 14 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala keempat-empat tertuduh diwakili peguam Catherine Joysce.

Video berdurasi dua minit dan 20 saat itu memaparkan sekumpulan lelaki sedang seronok bermain meriam karbait yang diperbuat daripada PVC di hadapan deretan rumah kedai.

Ia menunjukkan meriam berkenaan dihalakan ke arah jalan raya yang dilalui banyak kenderaan tanpa menghiraukan keselamatan orang ramai.

Perbuatan itu mendapat kecaman netizen kerana bukan sahaja tidak menghormati bulan Ramadan malah memberi ancaman kepada pengguna jalan raya terutama warga emas yang mungkin akan terkejut selepas mendengar dentuman kuat.

-- BERNAMA