GEORGE TOWN: Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak mengecam sekeras-kerasnya dan menggesa agar semua tindakan keganasan, pembunuhan dan kezaliman yang berlaku ke atas penduduk Palestin ditamatkan dengan segera.

Beliau berkata konflik dan peperangan yang masih berterusan telah menglakibatkan penderitaan yang besar kepada rakyat Palestin, dengan orang awam khususnya golongan kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa terbunuh serta ramai yang kehilangan nyawa dan rumah kediaman mereka.

"Titisan air mata, gelodak rasa kesedihan di jiwa, tidak dapat dibendung, melihat kesakitan dan kehilangan nyawa yang dialami oleh sebahagian besar penduduk Palestin.

"Sebagai ahli komuniti global yang bertanggungjawab, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk meningkatkan kesedaran tentang apa yang sedang berlaku dan membantu meringankan keperitan yang sedang dialami oleh rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat," katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15 di sini hari ini.

Sesi persidangan hari ini ialah yang pertama diadakan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) berlangsung pada 12 Ogos 2023.

Atas prinsip perikemanusiaan, beliau turut menggesa agar masyarakat antarabangsa bersama-sama menyokong segala usaha diplomatik untuk mencapai penyelesaian yang komprehensif dan tuntas dengan segera, adil dan saksama demi kebaikan manusia sejagat.

Selain itu, Tun Ahmad Fuzi turut mengucapkan tahniah atas kecemerlangan kerajaan negeri yang berjaya mengekalkan pengurusan kewangan yang berintegriti apabila menerima Sijil Bersih iaitu Sijil Pendapat Tanpa Teguran (Dengan Perenggan Hal-Hal Lain) daripada Ketua Audit Negara bagi Penyata Kewangan Tahun 2022.

"Saya dimaklumkan, prestasi kewangan kerajaan negeri kekal teguh, dengan baki terkumpul Kumpulan Wang Disatukan pada akhir tahun semasa berjumlah RM1.859 bilion.

"Hutang awam kerajaan negeri yang terdiri daripada hutang kepada Kerajaan Persekutuan bagi membiayai projek pembangunan menunjukkan baki berjumlah RM41.11 juta pada akhir tahun 2022, iaitu 9.5 peratus lebih rendah berbanding RM45.41 juta pada tahun 2021," katanya.

Mesyuarat ditangguhkan dan akan bersambung Isnin.

-- BERNAMA