Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan bahawa kritikan beliau terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sebelum ini adalah kerana beliau tidak meneruskan hasratnya untuk membina jambatan bengkok dari Johor Bahru ke Singapura.

Reaksi itu diberikan susulan wawancara bersama Najib dalam program 'Soal Jawab' yang disiarkan oleh TV3 pada Khamis lalu.

Najib dalam program itu antara lain berkata Dr Mahathir hanya menyuarakan dua perkara dalam satu perbincangan yang pernah diadakan sebelum ini iaitu mengenai cadangan pembinaan jambatan bengkok dan isu 1MDB.

"Bridge ini .... kalau tak buat, saya matikah?" tanya Dr Mahathir dalam klip video di blog "Din Turtle" yang dirakamkan dalam satu pertemuan beliau dengan sekumpulan blogger anjuran Bloghouse di ibu negara pada Sabtu.

Dakwa Dr Mahathir lagi, Najib pernah berjanji akan menyambung impiannya untuk membina jambatan itu yang terhenti seketika apabila bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih jawatan daripadanya pada 2003.

Jawatan itu kemudiannya disandang Najib pada tahun 2009.

"Harapan saya, bila Pak Lah (Abdullah) sudah tidak ada (letak jawatan), dia akan buatlah jambatan itu, dan lain-lain seperti laluan kereta api, macam-macamlah.

"Perkara yang kita bersetuju semasa saya jadi perdana menteri, akan diteruskan selepas saya letak jawatan, tetapi Pak Lah tak buat.

"Jadi, Najib pada satu masa ada menyebut, walau Singapura setuju atau tak setuju pun, kita hendak buat. Selepas itu apabila dia jadi perdana menteri, dia tak buat," kata beliau lagi.

Dr Mahathir juga menafikan beliau mempunyai sebarang kepentingan dalam pembinaan jambatan itu.

"Saya tidak seronok sikitlah apabila dia (Najib) tak buat. Pasal dia janji, bukan untuk saya, bukan saya nak dapat kontrak. Awak boleh periksa, tengok saya dah dapat berapa banyak kontrak, saya bukannya nak kontrak.

"Tapi saya punya sikap, berlainan sikit daripada orang lain. Saya tak nak 'kow tow' (tunduk) kepada Singapura," dakwanya lagi.

Cadangan pembinaan projek jambatan bengkok oleh Dr Mahathir sebelum ini dilihat akan memberikan keselesaan kepada orang ramai yang keluar masuk antara Singapura dan Johor.

Tambak Johor yang menghubungkan kedua-dua buah negara itu juga dilihat sudah lama, malah terlalu sempit sehingga menyebabkan kesesakan teruk berlaku setiap hari.

Pembinaan jambatan bengkok dilihat akan merangsangkan ekonomi Malaysia apabila rakyat Singapura tidak lagi perlu bersesak-sesak untuk ke Johor.

Selain itu, cadangan jambatan bengkok dengan ketinggian 25 meter dari aras tanah dilihat akan menarik kapal-kapal dagang kecil untuk ke pelabuhan Pasir Gudang, Johor, tanpa perlu melakukan perjalanan yang lebih jauh melewati Singapura.