Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad didesak segera memohon maaf dan beristighfar kerana membandingkan sifat Nabi Muhammad SAW dalam isu situasi politik negara.

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, analogi bandingan akan sifat, situasi dan keadaan Nabi Muhammad SAW sebagai manusia pilihan tidak sepatutnya dicampur-aduk dalam realiti politik masa kini.

"Jika dahulu semasa berkuasa, Dr Mahathir pernah mempersendakan hukum hudud dan memperlekeh janggut Nabi Muhammad SAW, kini yang terbaru di hadapan sebuah parti yang jelas memusuhi Islam, Dr Mahathir sekali lagi mempersendakan nama Nabi Muhammad SAW dengan mengaitkannya dengan isu 1MDB dan dikatakan tidak menerima derma RM2.6 bilion.

"Jelas, demi dendam dan amarahnya setelah segala cara digunakan selama ini gagal menumbangkan kerajaan BN yang sah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Dr Mahathir sanggup mengheret dan menjaja nama Nabi Muhammad SAW semata-mata untuk menjadi justifikasi ceramahnya.

"Dr Mahathir bukan sahaja perlu memohon maaf kepada seluruh umat Islam atas perlakuan biadab ini malah disaran untuk perbanyakkan istighfar selain melakukan sebutan syahadah semula kerana bimbang syirik berlaku,- katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: Ahli UMNO jangan terkilan tindakan Tun Mahathir - Syed Ali

BACA: Dr Mahathir hadir konvensyen DAP tindakan terdesak - MT UMNO


BACA: Kerana dendam kesumat, Mahathir sanggup diperkudakan DAP

Pada Ahad lepas, Dr. Mahathir menggunakan Nabi Muhammad SAW sebagai bahan jenaka ketika menghadiri Persidangan Kebangsaan DAP.

Dr Mahathir berkata, Nabi Muhammad SAW tidak memiliki RM2.6 bilion dalam akaun selain tidak mempunyai 1MDB.

Tegas Shaiful, pihaknya merasa amat kesal di atas sikap Dr Mahathir itu yang jelas tidak wajar khususnya dalam Kovensyen DAP Kebangsaan semata-mata mahu menjustifikasikan alasannya.

"Keceluparan Dr Mahathir yang berulang kali menjaja nama Nabi Muhammad SAW dan memperlekehkan nama baginda di atas pentas politik bukan sahaja satu tindakan yang biadap, malah meruntun sensitiviti umat Islam," jelasnya.