Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad boleh memberi sumbangan yang lebih besar kepada negara sebagai penasihat kerajaan berbanding menjadi pengkritik yang keterlaluan sehingga menimbulkan keresahan masyarakat.

Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Datuk Dr. Kamaruddin Kachar berkata, Dr. Mahathir memiliki banyak pengalaman dan boleh berkongsi pandangan mengenai penambahbaikan yang boleh dilakukan.

"Kami menyokong jika Tun dilantik sebagai penasihat kerajaan, beliau mempunyai pemikiran yang mantap dan jauh ke hadapan.

"Lagipun, rakyat tidak berasa selesa dengan hubungan dingin antara beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, perkara ini seeloknya diselesaikan dengan cara yang baik," katanya ketika dipetik Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan bahawa Dr. Mahathir lebih sesuai menjadi penasihat kerajaan dan bukannya pengkritik kepada kepimpinan ketika ini.

Dalam pada itu, Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, saluran awam yang digunakan oleh Dr. Mahathir untuk mengkritik Najib dikhuatiri boleh menjejaskan perpaduan rakyat.

"Memang saya sokong sekiranya Dr. Mahathir dijadikan penasihat kepada kerajaan, ramai rakyat yang menghormatinya dan kami cukup tidak selesa apabila berlaku perselisihan faham antara beliau dan Perdana Menteri," katanya.

Menurut Amir Amsaa, masyarakat Melayu terutamanya para pemimpin dan tokoh-tokoh negara perlu menunjukkan teladan yang baik untuk mengukuhkan perpaduan agar dapat dicontohi masyarakat di peringkat akar umbi.

Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Negeri Sembilan, Ruslan Kassim pula berkata, kritikan Dr. Mahathir itu merupakan pandangan peribadinya selaku pemimpin yang berpengalaman dan banyak berjasa dalam pentadbiran negara.

"Kita perlu mendengar pandangan tersebut tetapi dalam masa sama memberi peluang kepada Najib untuk mentadbir dan menyelesaikan masalah dengan caranya tersendiri kerana setiap pemimpin mempunyai cara ma­sing-masing.

"Malah, jawapan terhadap kritikan itu dapat mengelakkan pembangkang daripada menggunakannya sebagai senjata ampuh untuk menarik rakyat dengan mengatakan kerajaan sedia ada tidak berguna dan mereka merupakan pilihan yang tepat," kata beliau.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islamiah Al-Ihsan Kelantan, Zakaria Salleh turut menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Najib yang dipilih secara demokrasi oleh rakyat negara ini.

"Pada kami, orang yang sabar sudah pasti boleh menjadi pemimpin yang baik. Jadi, kami merayu kepada semua orang Melayu dan Islam supaya sentiasa memberi sokongan terhadap kepemimpinan Perdana Menteri,’" katanya.