KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyertai perarakan pembangkang di Dataran Merdeka bagi menyuarakan bantahan susulan penangguhan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat.

Bekas Perdana Menteri itu tiba sekitar 10.14 pagi di Dataran Merdeka ketika Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang menyampaikan ucapan.

Ketibaan Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu diumumkan oleh Ahli Parlimen Kulim Bandar-Bharu, Datuk Seri Seri Saifuddin Nasution sebelum Anwar dilihat memberhentikan ucapannya dan menyerahkan mikrofon bagi memberi laluan kepada Dr Mahathir.

Dr Mahathir dalam ucapan beliau antaranya menegaskan bahawa kerajaan sepatutnya menumpukan kepada masalah rakyat berbanding masalah politik.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Langkawi itu dan Anwar dilihat sudah lama 'tidak sepentas' selepas Ahli Parlimen Langkawi itu mengambil keputusan untuk meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dalam krisis politik pada 2020.

Turut hadir menyertai perarakan tersebut antaranya Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal; serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Selain itu, hadir sama ialah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian.

[LAPOR LANGSUNG] Ahli Parlimen Pembangkang diarah bersurai



BACA: Mesyuarat Khas Parlimen: Ini kronologi perdebatan Ordinan Darurat di Dewan Rakyat sejak 26 Julai 2021

Sidang khas Parlimen yang seharusnya disambung hari ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Perkara itu dimaklumkan melalui surat kepada Ahli Parlimen yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin.

Penangguhan itu selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang
telah dijalankan oleh KKM.

"Kementerian Kesihatan berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan jangkitan Covid-19," kata surat penangguhan itu.

Pada Ahad pula, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat sampel RT PCR kes positif COVID-19 hasil daripada saringan yg dijalankan di Parlimen menunjukkan terdapat unsur berkaitan varian Delta atau varian Kappa.

Menurut Dr Noor Hisham, keputusan itu dikeluarkan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang menerima empat sampel daripada Makmal Kesihatan Awam Sungai Buloh.

"Hasil daripada PCR Genotyping Assay, kesemua 4 sampel menunjukkan mutasi pada spike protein yang dikenal pasti wujud pada varian Delta atau varian Kappa.

"Namun berdasarkan VOC (varian yang membimbangkan) yang sedang menular di dalam komuniti, ia berkemungkinan besar adalah varian Delta," kata beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan keadaan individu yang ramai ketika sidang Mesyuarat Khas Parlimen yang berlangsung bermula 26 hingga 29 Julai lalu telah mencetuskan kebimbangan pihak KKM yang melihat kepada kadar penularan COVID-19.