KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman fitnah Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dijadualkan pada Selasa ditangguh kepada 19 Julai ini.

Perkara itu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi selepas bekas perdana menteri itu disahkan sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Peguam yang mewakili Dr Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi memaklumkan anak guamnya juga diberikan sijil cuti sakit sehingga Sabtu ini kerana tidak sihat.

Peguam mewakili Ahmad Zahid, Shahrul Fuzli kemudian mencadangkan tarikh sekitar Oktober.

Namun cadangan itu dibantah oleh hakim dengan mengambil kira faktor usia bekas perdana menteri itu.

“Kita boleh lapangkan tarikh kes lain bagi beri laluan kepada kes ini. Saya rasa Tun Mahathir adalah plaintif paling tua dalam mahkamah ini. Mahkamah tetapkan 19 Julai ini bagi perbicaraan,” katanya pada Selasa.

Difahamkan perbicaraan akan mengambil masa kira-kira empat hari, antara tarikh yang dicadangkan ialah 26 dan 27 Ogos, kemudian 29 dan 30 Ogos bagi sambungan pendengaran.

Saman fitnah itu difailkan Dr Mahathir terhadap Presiden UMNO itu kerana mempersoalkan asal usul bekas Ahli Parlimen Langkawi ini pada 2017.

Dr Mahathir, 97, yang juga bekas Pengerusi Bersatu selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Haidir & Co di Mahkamah Tinggi di sini pada 20 Julai lalu dengan menamakan Ahmad Zahid, 69, sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Dr Mahathir berkata, defendan mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah dan berniat jahat dengan sengaja merujuk terus kepada plaintif ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian