Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengucapkan tahniah kepada pasukan penyelamat yang terdiri daripada penyelam antarabangsa dan pihak berkuasa Thailand atas keberanian dan kejayaan mereka menyelamatkan 12 remaja lelaki dan jurulatih bola sepak mereka di kompleks gua Tham Luang di Chiang Rai semalam.

"Bagi pihak rakyat Malaysia, saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan penyelamat dan pihak berkuasa Thailand atas keberanian dan kejayaan mereka menyelamatkan 12 remaja lelaki dan jurulatih bola sepak mereka semalam.

"Kami gembira kerana misi menyelamat ini berakhir dengan jayanya dan remaja lelaki berkenaan kini dapat pulang ke pangkuan keluarga mereka. Misi ini bukannya tanpa pengorbanan," katanya dalam catatan di Facebook beliau hari ini.


Pada masa yang sama, Dr Mahathir turut merakamkan ucapan takziah kepada anggota keluarga dan rakan penyelam pasukan SEAL Tentera Laut Diraja Thailand, Saman Kunan, 38, yang meninggal dunia pada Jumaat lalu selepas menghantar tangki oksigen yang amat diperlukan ke dalam Bilik 3 gua itu semasa misi menyelamatkan pasukan bola sepak Wild Boars dan jurulatih mereka itu.

"Kami amat bersimpati dengan Pegawai Kelas Pertama Saman Kunan, yang kehilangan nyawa secara tragik semasa menghantar tangki oksigen ke dalam gua itu semasa misi itu," katanya.

Perdana menteri berkata keberanian Saman itu akan kekal dalam ingatan rakyat Thailand dan masyarakat seluruh dunia yang telah mengikuti rapat episod dramatik itu.

Kesemua 12 remaja lelaki itu berumur antara 11 dan 16 tahun dan jurulatih mereka berumur 25 tahun dilaporkan hilang dalam kompleks gua Tham Luang di Chiang Rai, wilayah utara Thailand pada 23 Jun lepas.


Mereka ditemukan pada 2 Julai selepas misi mencari yang disertai 1,000 penyelamat, pada hari kesembilan misi itu.

BACA: 'Mujur ada Adul', mangsa gua Tham Luang disanjung kerana fasih bahasa Inggeris

Sebanyak 13 pakar penyelam gua asing dan lima anggota penyelamat Tentera Laut Diraja Thailand mengambil bahagian dalam operasi pertama pada Ahad yang berjaya mengeluarkan empat remaja lelaki dari dalam gua itu.

Dalam operasi penuh mencabar, pasukan penyelamat perlu mengharungi laluan sempit dan air keruh di dalam gua itu sebelum menamatkan penderitaan pasukan bola sepak itu selama 17 hari dengan baki empat lagi dikeluarkan daripada gua itu pada Selasa.

-- BERNAMA