Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pukul 4.32 petang tadi dalam memulakan lawatan kerja dua hari ke negara ini.

Beliau yang ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali disambut Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Ibni Sultan Hassanal Bolkiah serta isteri.

Beliau yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang pukul 2 petang tadi turut disambut oleh Menteri Kewangan Kedua merangkap Menteri Pengiring, Datuk Seri Awang Mohd Amin Liew serta Menteri-menteri Kanan Kabinet Kerajaan Brunei.

Sejurus tiba, Dr Mahathir dan isteri kemudian dibawa ke Istana Qashr Munee’, antara kediaman tetamu negara kerajaan Brunei.

Pada sebelah malam, beliau dijadual menghadiri majlis makan malam bersama lebih 500 daripada hampir 4,000 rakyat Malaysia yang berdaftar di Brunei.

Rata-rata antara mereka terdiri daripada golongan profesional dan usahawan.

Keesokannya beliau dijadual mengadakan pertemuan empat mata bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman di sini selain beberapa program lain termasuk riadah di Taman Mahkota Jubli Emas dan menyampaikan syarahan di Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Turut bersama dalam lawatan ini adalah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan Malaysia.