KUALA LUMPUR: Dalam menyokong penuh iltizam kerajaan memerangi rasuah dan salah guna kuasa, semua pihak juga harus memastikan integriti dan kebebasan badan kehakiman terjamin, tidak diganggu atau diserang.

Dalam satu kenyataan hari ini, Rasuah Busters menegaskan penubuhan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) wajar diluluskan oleh Parlimen bagi membersihkan Malaysia daripada isu rasuah dan salah laku.

"Untuk memastikan kelangsungan semak imbang, dan input kajian diperincikan dalam melaksanakan reformasi istitusi secara dua hala antara kumpulan masyarakat sivil, pakar dan professional bersama ahli-ahli Parlimen; Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) wajar diluluskan oleh Parlimen.

"Memerangi rasuah bukan tugas eksklusif pihak kerajaan, maka kesediaan semua pihak untuk terlibat harus diambil kira dalam memastikan reformasi institusi yang dijanjikan dapat direalisasikan segera dan efisien," kenyataan itu menyebut.

Rasuah Busters turut menyatakan beberapa reformasi penting perlu dilaksanakan segera termasuklah pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwaraya, Pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Penggubalan Akta Pembiayaan Politik, pindaan terhadap Akta Suruhanjaya Kehakiman 2009, pindaan komprehensif kepada Akta SPRM 2009 dan implementasi penuh NACP.

"Reformasi institusi dilihat sebagai kritikal untuk memastikan keyakinan rakyat kepada institusi berkaitan agar politik dan kuasa eksekutif tidak dilihat menguasai negara dan mengancam kestabilan sistem demokrasi yang bertunjangkan pemisahan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman," katanya lagi.