Dua pengawai kanan Kementerian Luar yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa dikatakan sudah merancang untuk membuat tuntutan palsu semasa Sidang Kemuncak APEC di Hawaii, Amerika Syarikat.

Astro AWANI difahamkan, suspek mahir mengenai selok belok kewangan untuk sesebuah organisasi sebelum sesuatu program Kementerian dijalankan.

``Saya percaya tuntutan palsu itu sudah dirancang rapi. Sejak awal lagi, mereka sudah melanggar banyak peraturan dan pekeliling pembendaharaan,” kata sumber dalaman SPRM.

Dua pegawai berkenaan disyaki membuat tuntutan palsu dengan nilai tuntutan dianggarkan sebanyak AS$126,000 (RM378,000)

Tuntutan penyata perbelanjaan tersebut dikemukakan kepada Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat sempena Sidang Kemuncak APEC antara 3 hingga 16 November 2011.

Tuntuan berkaitan penggunaan kenderaan dan urusan logistik itu dibuat setelah kedua pegawai itu menerima wang perbelanjaan daripada akaun Kedutaan Besar Malaysia, Washington (KBMW).

"Jumlah yang dituntut kedua pegawai tersebut tidak sama dengan jumlah yang diberikan kepada mereka.

"Hasil pemeriksaan dengan syarikat pengangkutan terbabit juga mendapati jumlah yang dibayar kepada mereka kurang 30 peratus daripada jumlah yang dituntut," ujarnya.

Dua pegawai berkenaan dipercayai bersekongkol ketika mengemukakan penyata perbelanjaan kepada KBMW yang mengandungi butir-butir palsu sepanjang persidangan tersebut.

Dalam pada itu, SPRM tidak menolak kemungkinan kedua-dua pengawai berkenaan terpaksa berbuat demikian kerana arahan pihak atasan.

Pada petang Selasa lepas, SPRM menahan dua pegawai berusia dalam lingkungan 40-an bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu penggunaan kenderaan dan urusan logistik semasa Sidang Kemuncak APEC 2011 di Hawaii, Amerika Syarikat.

Mereka ditahan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Siasatan membabitkan kesalahan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001. Penahanan disahkan Pengarah Siasatan SPRM, Pesuruhjaya Datuk Mustafar Ali.