KULAI: Seramai lapan suspek telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian sekumpulan individu dipercayai menutup laluan di Lebuhraya Linkedua bagi membolehkan perlumbaan dilakukan.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kesemua suspek berusia 26 hingga 45 tahun itu akan direman di Mahkamah Majistret Kulai pada Isnin, mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).
Sebelum ini, pihaknya mengesan video kejadian berkenaan yang tular di laman Facebook pada petang Sabtu.
Menurutnya, video itu memaparkan dua motosikal yang nombor pendaftaran dan jenisnya tidak dapat dikenal pasti, bersaing sesama sendiri dari Kilometer (KM) 33, susur Tol Senai Utara hingga KM31, susur Johor Premium Outlet (JPO).
Selain itu, individu lain yang dipercayai berada di lokasi kejadian dan menyaksikan perbuatan tersebut dari tepi lebuh raya juga sedang dikesan.
Jelas beliau, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti semua individu yang terbabit dalam kejadian berkenaan. - Sinar Harian