Bagi merancakkan industri seni kreatif di Sarawak, sebuah platform dilahirkan bagi membolehkan pemain industri di negeri itu menghasilkan karya seterusnya menjana pendapatan.

Dengan itu, TV Sarawak sebuah stesen televisyen yang diluluskan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan mendapat lesen selama 10 tahun akan mula beroperasi menjelang akhir tahun ini.

Menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, rakyat negeri itu berpeluang untuk menikmati saluran berkenaan secara percuma.

"Sarawak Media Group (SMG) dan syarikat berkaitan kerajaan Sarawak akan bekerjasama untuk mengurus dan mengendalikan stesen televisyen yang menyediakan saluran percuma.

"Ia juga akan menyediakan perkhidmatan penerbitan dalam talian dan penyediaan maklumat," katanya.

Beliau turut menggesa pemain industri kreatif untuk merebut peluang keemasan ini dan menghasilkan karya seni selepas stesen televisyen berkenaan mula beroperasi sepenuhnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Sambutan Hari Sarawak 2020 di Miri pada Rabu malam.

Sambutan Hari Sarawak tahun ini disambut secara maya dan bersesuaian dengan norma baharu bagi terus memerangi penularan wabak COVID-19.

Antara tetamu khas yang hadir memeriahkan acara adalah Tuan Yang Terutama Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib serta Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin yang merupakan menteri bertanggungjawab dengan penganjuran Hari Sarawak 2020.