KUALA LUMPUR: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) membuka ruang kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang, termasuk masyarakat Orang Asli, untuk mengembangkan bakat serta potensi kerjaya dalam bidang kreatif.
Perkara itu dibuktikan menerusi kejayaan Tasyanera Judin, pelajar Orang Asli dari Banting, Selangor yang mengikuti pengajian Fesyen dan Pakaian di Kolej Komuniti Rembau, selepas merangkul Anugerah Pereka Kreatif sempena POLYCC Fashion Week 2026 (POLYCCFW 2026).
“Walaupun datang daripada latar belakang masyarakat Orang Asli, beliau membuktikan bahawa minat, peluang pendidikan TVET dan bimbingan yang berterusan mampu membuka ruang untuk seseorang pelajar menyerlahkan potensi serta bakat yang dimiliki,” menurut kenyataan POLYCCFW 2026, di sini, pada Khamis.
Sepanjang pengajian, Tasyanera menerima bimbingan pensyarah dalam penghasilan idea, pembangunan konsep, pemilihan bahan, teknik penghasilan busana serta persembahan rekaan.
Proses itu bukan sahaja memperkukuh kemahiran teknikal, malah membina keyakinannya untuk mengetengahkan identiti dan kreativiti dalam menghasilkan rekaan fesyen.
POLYCCFW 2026 menghimpunkan hasil kreativiti pelajar bidang Fesyen dan Pakaian daripada 16 Kolej Komuniti dan dua politeknik seluruh negara.
Kejayaan Tasyanera menjadi antara detik istimewa program berkenaan dan mencerminkan peranan TVET sebagai platform yang memberi peluang kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang untuk membangunkan bakat, kemahiran serta potensi kerjaya.