Skip to main content

Malaysia

TVET diperkasa elak ketidakpadanan kemahiran, lahir tenaga kerja berpendapatan tinggi

menteri Ramanann TVET
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pengajar TVET Kebangsaan dan Pengurus Pusat Bertauliah 2026 di Wyndham Grand Bangsar. - Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) terus memperkukuh agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan latihan yang diterima peserta memenuhi keperluan industri sekali gus mengurangkan ketidakpadanan kemahiran (skills mismatch) serta melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, kerajaan kini memberi penekanan besar terhadap pembangunan TVET menerusi pelbagai inisiatif di bawah Majlis TVET Negara dan Hari TVET Negara, selain memperluaskan bidang latihan mengikut permintaan pasaran pekerjaan supaya graduan lebih mudah memperoleh pekerjaan yang sepadan dengan kemahiran dimiliki.

“Banyak bidang dan sektor yang kita buka untuk latihan TVET. Sebab itu juga di bawah JPP, kita ada kemahiran khas dan perkara seperti ini untuk memastikan apa yang mereka pelajari benar-benar sesuai dengan pekerjaan yang mereka akan masuk. Kita tidak mahu ada ketidaksepadanan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut memanfaatkan platform MyFutureJobs yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu graduan TVET dipadankan dengan peluang pekerjaan yang paling sesuai mengikut kelayakan dan latihan yang diterima.

“Melalui MyFutureJobs Portal, apabila anda dilatih, anda boleh letakkan nama anda di situ untuk mendapatkan pekerjaan. Ia menggunakan AI untuk mencari pekerjaan yang paling sesuai dan terbaik untuk anda," katanya lagi.

Ramanan berkata, permintaan terhadap tenaga kerja mahir terus meningkat apabila terdapat graduan TVET yang berjaya meningkatkan pendapatan mereka dalam tempoh beberapa bulan selepas tamat latihan, sekali gus membuktikan pertumbuhan positif bukan sahaja dalam sektor minyak dan gas, malah merangkumi pelbagai industri lain.

Bagi memperkukuh agenda itu, katanya, kerajaan telah mengumumkan tambahan RM100 juta bagi memperluaskan latihan TVET berkemahiran tinggi (Higher Skills) supaya lebih ramai graduan mampu memenuhi keperluan industri bernilai tinggi.

“Sebab itu YBPM telah mengumumkan tambahan RM100 juta untuk latihan TVET berkemahiran tinggi.”

Dalam ucapan perasmiannya, Ramanan turut menegaskan TVET kini menjadi ‘game changer’ dalam pembangunan modal insan negara dengan fokus kepada sektor High-Growth, High-Value (HGHV), selaras aspirasi TVET 2.0 Higher Skills serta sasaran meningkatkan Pendapatan Negara Kasar per kapita kepada sekitar RM77,200 setahun.  

Beliau berkata, usaha transformasi itu turut disokong melalui pendekatan latihan berteraskan industri, peluasan latihan lanjutan, pendigitalan sistem TVET serta penggunaan AI dalam pengurusan data bagi memastikan latihan sentiasa relevan dengan kehendak pasaran.  

Menurut beliau, hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif itu menyaksikan kadar kebolehpasaran graduan institusi latihan di bawah KESUMA mencapai 95.5 peratus dalam tempoh enam bulan selepas tamat latihan, dengan 85.1 peratus bekerja dalam bidang berkaitan latihan yang diikuti serta kadar kepuasan majikan mencecah 97.2 peratus.  

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kamaruzaman Md. Ali, berkata pengajar TVET dan pengurus pusat bertauliah merupakan enjin penggerak negara dalam melahirkan tenaga kerja mahir bertaraf dunia. Beliau berkata, tema ”(R)EVOLUSI TVET: Memperkasa Kompetensi, Memacu Pertumbuhan Negara” menuntut warga TVET menjadi arkitek perubahan serta sentiasa meningkatkan kemahiran (reskill dan upskill) bagi memenuhi kehendak industri yang semakin berkembang.  

Persidangan Pengajar TVET Kebangsaan dan Pengurus Pusat Bertauliah 2026 yang berlangsung di Wyndham Grand Bangsar itu turut menyaksikan pelancaran Pelan Tindakan Pengantarabangsaan JPK 2026–2030, SkillsMalaysia Global serta Buku Transformasi TVET, sebagai usaha memperkukuh pengiktirafan TVET Malaysia di peringkat antarabangsa dan memperluaskan kerjasama strategik bersama industri.  

Must Watch Video

Advertisement