Skip to main content

Malaysia

TVET: Keselamatan siber pacu kesiapsiagaan digital negara

[TB]_SGC_SGC
Khairul Firdaus Akbar Khan (kiri) berkata, agenda TVET Berimpak Tinggi dan Mampan (High Impact TVET) memerlukan pendekatan yang mampu memenuhi keperluan industri semasa. - Foto SG
Advertisement

KUALA LUMPUR: Latihan keselamatan siber kini menjadi satu keperluan strategik yang mendesak memandangkan setiap sektor kritikal negara, daripada perbankan dan tenaga sehinggalah pertahanan, bergantung kepada sistem digital yang perlu dilindungi.

Justeru, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, agenda TVET Berimpak Tinggi dan Mampan (High Impact TVET) memerlukan pendekatan yang mampu memenuhi keperluan industri semasa.

"TVET Berimpak Tinggi dan Mampan menuntut peralihan daripada pendekatan latihan secara pukal kepada program yang berfokus, bertaraf industri serta mampu melahirkan graduan yang bertauliah, berkemahiran tinggi dan boleh diambil bekerja serta-merta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan pemeteraian tiga MoU membabitkan SG TVET Group Berhad, Yayasan Mahir Malaysia (YMM), JPK dan Job Store Sdn Bhd di Kampus SG Academy, Putra Majestik, di sini, pada Selasa.

Pada majlis sama, Yayasan Mahir Malaysia mengumumkan tajaan berjumlah RM150,000, merangkumi RM50,000 bagi menyokong program latihan keselamatan siber yang dibangunkan bersama BlackBerry Cybersecurity Centre of Excellence serta RM100,000 bagi kursus pendek Kenderaan Elektrik (EV) dan Teknologi Dron di Sandakan, Sabah, bagi memperluaskan akses latihan kemahiran berimpak tinggi kepada belia di Malaysia Timur.

Tiga MoU yang dimeterai ialah antara SG TVET Group Berhad dan JPK; Yayasan Mahir Malaysia dan JPK serta SG TVET Group Berhad dan Job Store Sdn Bhd yang membuka laluan penempatan pekerjaan kepada graduan.

JPK diwakili Ketua Pengarahnya, Dr Kamaruzaman Md Ali.

Dalam pada itu,  Khairul Firdaus berkata, pemeteraian MOU secara langsung oleh JPK menjadi satu pengiktirafan yang menaikkan taraf institusi berkenaan daripada sekadar penyedia latihan kepada rakan pelaksana dasar kemahiran negara.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Mahir Malaysia, Datuk Sri Ganes Palaniapan berkata, program latihan keselamatan siber yang dibangunkan bersama BlackBerry merupakan program perintis TVET yang dilaksanakan dengan kerjasama industri bagi memenuhi keperluan semasa pasaran pekerjaan.

"Program keselamatan siber ini turut diselaraskan dengan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan kandungan latihan sentiasa relevan dan terkini, sekali gus memberi lonjakan kepada graduan TVET untuk menembusi pekerjaan berimpak tinggi," katanya.

Dalam pada itu, pemeteraian MoU bersama JPK menurutnya, adalah kemuncak perjalanan lebih 25 tahun pihaknya dalam pembangunan kemahiran negara.

"Pemeteraian MoU bersama JPK pada hari ini adalah kemuncak perjalanan lebih 25 tahun kami dalam pembangunan kemahiran negara.

"Sumbangan RM150,000 daripada Yayasan Mahir Malaysia, iaitu RM50,000 bagi keselamatan siber bersama BlackBerry dan RM100,000 bagi kursus pendek EV dan dron di Sandakan, adalah komitmen kami untuk memastikan peluang latihan berimpak tinggi sampai kepada belia di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak," katanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SG TVET Group.

Majlis itu turut menghimpunkan kolaborator industri antarabangsa termasuk BlackBerry dalam bidang keselamatan siber, SIEMENS bagi mekatronik dan automasi industri serta CompTIA dalam teknologi komputer dan IT, di samping kerjasama Autotronics bersama MARii dan SEDA Malaysia bagi program EV dan tenaga solar.

SG TVET Group merupakan kolej TVET terawal di negara ini yang memperoleh akreditasi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi latihan dron serta pusat latihan terawal yang menawarkan program Kenderaan Elektrik (EV) dan Tenaga Solar.

Menerusi model Perkongsian Awam-Swasta bersama Jabatan Tenaga Manusia (JTM), kumpulan itu telah melatih lebih 3,000 peserta dalam bidang dron dan EV di ADTEC JTM Perai, Kuala Lumpur, Sandakan, Miri dan Melaka, termasuk pelancaran SIEMENS Industry Training Hub di ADTEC JTM Perai pada 2024.

Sejak 2013, program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) antarabangsa kumpulan itu telah menarik lebih 500 pelajar dari luar negara ke SG Academy.

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement