SUNGAI PETANI: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memberi peluang kepada pelatih yang tidak mempunyai kelayakan akademik untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata pelaksanaan TVET KPLB adalah berdasarkan kerangka sistem dengan laluan artikulasi bermula daripada peringkat sijil hingga ke peringkat tinggi (H-TVET).

"Bermula dari peringkat Sijil Kemahiran Malaysia Tahap Satu hingga Tiga di GiatMARA, Kolej KEDA, Akademik Kemahiran Kemas dan Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-Tech).

"Seterusnya ke Diploma TVET di Institut Kemahiran MARA, Kolej Kemahiran Tinggi MARA, MARA Japan Industrial Institute dan German Malaysia Institute dan kemudian peringkat H-TVET di Universiti Kuala Lumpur," katanya berucap merasmikan majlis penutup Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KPLB 2022 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Muhamad Nur Aizat Noor Azam.

Abdul Rahman berkata selain dilengkapi dengan kemahiran teknikal, para pelatih TVET KPLB turut dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran insaniah termasuk penguasaan bahasa kedua iaitu Bahasa Inggeris.

Menurut beliau, pendekatan itu bertujuan menjadikan graduan TVET KPLB mempunyai satu pakej lengkap sebagai pekerja yang berkemahiran dan bersahsiah tinggi.

Selain itu, beliau menjelaskan aspek keusahawanan antara perkara yang diberi penekanan dalam silibus TVET KPLB supaya pelatih mampu mencari dan mencipta pekerjaan serta membuka dan menguruskan perniagaan sendiri.

Mengenai Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KPLB 2022, Abdul Rahman berkata program tersebut berupaya membuka mata masyarakat mengenai bidang TVET yang berupaya melestarikan peluang pekerjaan demi meningkatkan taraf hidup masyarakat.

"Sepanjang tiga hari, ekspo ini berjaya menerima lebih 300,000 pengunjung sama ada secara fizikal di tapak ini atau dalam talian. Syabas saya ucapkan kepada semua yang terlibat," katanya.

Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KPLB 2022 yang bermula Khamis lepas merupakan medan bagi promosi program TVET yang ditawarkan pelbagai agensi dan jabatan di bawah KPLB bagi menarik minat dan seterusnya meningkatkan pengambilan atau kemasukan pelajar baharu.

Penganjuran ekspo tersebut melibatkan penyertaan dan kerjasama 280 Institusi Pendidikan TVET@KPLB di bawah tujuh agensi utama KPLB antaranya Jabatan Kemajuan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Orang Asli, Majlis Amanah Rakyat dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah.

-- BERNAMA