KUALA LUMPUR:Tuan Yang Terutama Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud hadir memberi penghormatan terakhir ke atas Allahyarham Tun Rahah Mohamed Noah hari ini .

Kenderaan rasmi yang membawa TYT Negeri Sarawak itu tiba di perkarangan Masjid Ar-Rahah, Kerinchi kira-kira 12.30 tengah hari.

Tun Abdul Taib meluangkan masa sekitar 30 minit sebelum beredar meninggalkan masjid berkenaan sekitar jam satu tengah hari.

Selepas selesai penghormatan terakhir, jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Negara untuk dikebumikan di Lingkaran Makam Pahlawan mengikut istiadat Pengebumian Negara.

Tun Rahah, 87, isteri kepada perdana menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, meninggal dunia pada petang Jumaat ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Prince Court, di sini.