MALAYSIA
Ubat tradisional tidak berdaftar bernilai lebih RM5 juta dirampas

Operasi bersepadu CPF Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang di sekitar Kepala Batas pada Selasa lalu merampas produk tradisional tidak berdaftar disyaki mengandungi racun bernilai RM5.2 juta. - Gambar Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang
GEORGE TOWN: Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang merampas pelbagai produk ubat tradisional tidak berdaftar yang disyaki mengandungi racun berjadual bernilai lebih RM5 juta dalam operasi khas di sekitar Kepala Batas, dekat sini 15 Julai lepas.
Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Fazilah Shaik Allaudin berkata serbuan melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) dengan kerjasama polis dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) itu dilakukan ke atas enam premis perniagaan dengan 71,000 botol produk tradisional tidak berdaftar dirampas.
"Turut dirampas lebih 500 bungkusan bahan mentah yang disyaki mengandungi racun berjadual dan dua unit mesin yang melibatkan jumlah keseluruhan bernilai RM5.2 juta.
"Operasi ini membuktikan Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa mengambil serius terhadap aduan awam bagi membanteras penjualan produk tidak berdaftar dan keluaran yang dicampuri racun," katanya dalam kenyataan hari ini.Dr Fazilah berkata memiliki racun berjadual untuk jualan tanpa lesen merupakan kesalahan di bawah Akta Racun 1952 manakala penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum di bawah Akta Jualan Dadah 1952.
Beliau berkata pengguna dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan iklan atau testimoni di dalam talian yang mendakwa mempunyai manfaat perubatan tidak munasabah.
"Orang awam boleh menyemak status pendaftaran ubat atau notifikasi kosmetik dengan melayari laman sesawang https://www.npra.gov.my di ruangan "Status Produk" atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-7883 5400," katanya.
Beliau berkata KKM sentiasa komited memerangi isu pembekalan dan penjualan ubat menyalahi undang-undang dan kempen "Tolak Ubat Tidak Sah" atau "TOBaTS" merupakan inisiatif Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM yang telah diperkenalkan pada tahun lepas.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami