Ringkasan AI
- ASEAN dan Kanada memuktamadkan secara substantif rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada (ACAFTA) dan menyasarkan penandatanganan pada 2027.
- ACAFTA akan menjadi perjanjian perdagangan bebas pertama ASEAN dengan rakan Amerika Utara, merangkumi 25 bab termasuk perdagangan, pelaburan, dan pembangunan mampan.
- Kanada menyediakan bantuan kewangan dan teknikal berjumlah CAD30 juta bagi menyokong pelaksanaan ACAFTA dan memperkukuh keupayaan negara anggota ASEAN kurang membangun.
MANILA: ASEAN dan Kanada mencapai memuktamadkan secara substantif rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada (ACAFTA), dengan kedua-dua pihak menyasarkan perjanjian itu ditandatangani pada 2027.
Perkara itu diumumkan menerusi kenyataan bersama Pengerusi ASEAN dan Kanada sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila, Filipina, pada Ahad.
ACAFTA bakal menjadi perjanjian perdagangan bebas pertama ASEAN dengan rakan dari rantau Amerika Utara, sekali gus menandakan perkembangan penting dalam usaha memperluas hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan kedua-dua pihak.
Rundingan yang dilancarkan pada November 2021 itu merangkumi 25 bab, meliputi pelbagai bidang termasuk perdagangan barangan dan perkhidmatan, pelaburan, prosedur kastam, perkhidmatan kewangan, telekomunikasi dan perdagangan elektronik.
Ia turut merangkumi aspek perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), harta intelek, persaingan, perolehan kerajaan serta perdagangan dan pembangunan mampan.
Menurut kenyataan itu, rundingan teks perjanjian kini hampir dimuktamadkan sepenuhnya, manakala perunding kedua-dua pihak akan menyelesaikan beberapa isu teknikal yang masih tertangguh sebelum pemeteraian.
"ACAFTA dijangka mewujudkan persekitaran perdagangan dan pelaburan lebih telus, stabil serta kondusif, selain memperluas akses pasaran dan membuka peluang baharu kepada perniagaan, khususnya PMKS.
"Perjanjian itu juga dijangka memperkukuh penyertaan syarikat dalam rantaian nilai serantau dan global, di samping membantu perniagaan menyesuaikan diri dengan perubahan landskap komersial serta perkembangan teknologi," kata kenyataan itu.
Dalam usaha memastikan semua negara anggota ASEAN dapat merealisasikan manfaat perjanjian berkenaan, Kanada turut menyediakan sokongan kewangan dan teknikal bagi membantu rundingan serta persediaan pelaksanaannya.
Kanada sebelum ini memperuntukkan CAD25 juta bagi bantuan teknikal pada 2025 untuk menyokong pelaksanaan ACAFTA, selain mengumumkan tambahan CAD5 juta pada 2026 untuk membantu penyelesaian rundingan, proses ratifikasi dan persediaan pelaksanaan.
Sokongan itu turut bertujuan memperkukuh keupayaan negara anggota ASEAN kurang membangun dalam menangani isu perdagangan baharu dan yang sedang berkembang.
Pemimpin ASEAN dan Kanada turut meminta menteri berkaitan mempercepatkan penyelesaian isu teknikal yang masih tertunggak bagi membolehkan ACAFTA ditandatangani pada 2027, bersempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan dialog ASEAN-Kanada.