Kalangan pemandu teksi hari ini membuat laporan polis terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) atas dakwaan ketidakupayaan badan itu dalam menangani masalah berhubung perkhidmatan Uber di Malaysia.

Pengerusi Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB), Amran Jan berkata SPAD harus mengambil tanggungjawab yang serius bagi memastikan sistem industri teksi dilindungi.

"SPAD melalui pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar sedar operasi Uber telah melanggar Akta SPAD 2010, namun seolah-olah 'tidak mempunyai kuasa' untuk menghalang Uber daripada terus beroperasi.

"Seharusnya SPAD bertanggungjawab memastikan kebajikan warga pemandu teksi negara terbela," tambah beliau.


taxi lapor polis
Antara pemandu teksi yang membuat laporan polis
terhadap SPAD di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pagi tadi.


Lebih 30 pemandu teksi hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur untuk membuat laporan.

Uber merupakan syarikat antarabangsa yang menawarkan perkhidmatan tempahan pengangkutan menerusi aplikasi telefon pintar.

Terdahulu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), SPAD dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilapor akan melancarkan operasi memburu pemilik kenderaan persendirian yang menawarkan perkhidmatan Uber mulai 1 Oktober.

Perkhidmatan Uber juga bercanggah dengan Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987 kerana tidak memiliki lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam, yang mana pelakunya boleh didenda tidak melebihi RM10,000, penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Uber merupakan sebuah syarikat antarabangsa berpangkalan di San Francisco, Amerika Syarikat yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan menerusi aplikasi telefon pintar.

Ditubuhkan pada 2009, ia menawarkan perkhidmatan di lebih 200 bandar raya di serata dunia.

Perkhidmatan ini mula memasuki pasaran Asia pada Februari pada tahun lepas di Singapura dan seterusnya di Kuala Lumpur pada Oktober tahun lepas secara atas talian melalui laman web https://www.uber.com/cities/kuala-lumpur