Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan bekas pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Muhammad Safwan Anang@Talib membela diri terhadap pertuduhan memberi ucapan berbaur hasutan dalam satu ceramah pada 13 Mei tahun lepas.

Dalam keputusannya, Hakim Norsharidah Awang mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Muhammad Safwan, 25, di akhir kes pendakwaan selepas mahkamah mendengar keterangan empat saksi.

Ketika membuat keputusan itu, Norsharidah berkata mahkamah berpuas hati dengan kes pendakwaan dan memerintahkan tertuduh membela diri hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam Noorazmir Zakaria yang mewakili Muhammad Safwan untuk menangguhkan prosiding membela diri anak guamnya sementara menunggu keputusan rayuan pihak pendakwaan di Mahkamah Persekutuan berhubung kes anggota Dewan Undangan Negeri Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad, yang dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Noorazmir berhujah bahawa kes anak guamnya itu berkait rapat dengan kes Nik Nazmi, berhubung Akta Perhimpunan Aman itu yang akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada 27 Mei ini dan keputusan mahkamah tertinggi itu nanti akan diguna pakai dalam kes Muhammad Safwan.

Norsharidah kemudian menetapkan 5 Jun untuk sebutan kes itu.

Pada 29 Mei tahun lepas, Muhammad Safwan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memberi ucapan menghasut bagi membangkitkan kemarahan rakyat negara ini supaya mengubah kerajaan yang tertubuh mengikut undang-undang, dengan cara tidak sah.

Selain Safwan, turut didakwa bersama ialah Naib Presiden PKR Chua Tian Chiang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua, 51, aktivis mahasiswa propembangkang, Adam Adli Abd Halim, 25; aktivis Hishamuddin Md Rais, 63; anggota PAS Mohd Tamrin Abdul Ghafar, 64; peguam Haris Fathillah Mohamed Ibrahim, 55.

Bagaimanapun kes Tian Chua dan empat lagi masing-masing dibicarakan berasingan dan masih di peringkat perbicaraan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Jalan Maharaja Lela, Dang Wangi di sini antara 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei tahun lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Abazafree Mohd Abbas.