BADAN bola sepak Eropah, UEFA pada Selasa secara rasmi memulakan prosiding disiplin terhadap Barcelona, Juventus dan Real Madrid.

Ia susulan penglibatan kelab-kelab itu dalam cadangan penganjuran Liga Super Eropah (ESL).

Tiga kelab berkenaan adalah sebahagian daripada 12 kelab pengasas ESL.

Sembilan kelab lain telah mengumumkan menarik diri, namun tiga kelab itu enggan berbuat demikian.

"Susulan siasatan yang dijalankan Badan Penyiasat Etika dan Disiplin UEFA berkaitan projek yang digelar 'Liga Super', prosiding tatatertib telah dimulakan terhadap Real Madrid, Barcelona dan Juventus FC.

"Ini kerana, kemungkinan terdapat pelanggaran terhadap kerangka undang-undang UEFA. Maklumat lanjut akan diberikan," kata UEFA. 

Manakala bagi sembilan kelab yang menarik diri - Manchester United, Liverpool, Manchester City, Chelsea, Tottenham Hotspur, Arsenal, AC Milan, Inter Milan dan Atletico Madrid - tindakan turut dikenakan susulan penyertaan mereka.

Kesemuanya setuju memberi sumbangan 15 juta euro kepada tabung bola sepak Eropah.

Lima peratus daripada keuntungan kelab juga akan disekat UEFA untuk satu musim.