KUCHING:Polis Sarawak menahan tiga lelaki tempatan dan memburu dalang utama bagi membantu siasatan berhubung kejadian ugutan seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuching semalam.

Ketiga-tiga lelaki terbabit ditahan petang semalam dan hari ini di sekitar Kuching.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, suspek utama berusia 35 tahun dan beralamat terakhir di Taman Rejang Park, Sibu sedang diburu pihak polis.

"Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari semalam, mangsa menerima satu sampul surat berisi dua butir peluru hidup beserta notis ugutan 'Got 2 Bullets, one long one short, Which one you want' (Ada dua butir peluru, satu panjang satu pendek yang mana satu anda mahu) di rumahnya di Jalan Matang.

"Bimbang akan keselamatan, mangsa yang merupakan pegawai kanan JKDM di Kuching membuat laporan polis di Balai Polis Gita pada Khamis.

"Bertindak atas maklumat itu, polis menahan tiga lelaki tempatan berusia 35 hingga 39 tahun di sekitar Kuching bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Individu yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung satu kes ugutan pegawai kanan Kastam.

Aidi menambah, motif kejadian dipercayai ada kaitan dengan operasi khas yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Kastam Kuching di satu daerah di Sarawak pada awal November lalu yang mana operasi itu diketuai mangsa.

Katanya, siasatan awal ke atas tiga lelaki yang ditahan mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

"Kesemua suspek kini direman selama empat hari hingga 1 Disember bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 501 Kanun Keseksaan," katanya.

Jelas Aidi, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu yang diburu dikehendaki menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Ramle Husin ditalian 013-8968963 atau berhubung dengan mana-mana balai polis berhampiran.