KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia telah membuka Kertas Siasatan Tatatertib terhadap 12 anggota dan pegawainya yang disyaki melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki warga Vanuatu membabitkan nilai RM2 juta.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Aida Abdul Hamid berkata tindakan itu dibuat selari dengan siasatan yang sedang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).
Beliau berkata siasatan JIPS akan memberi tumpuan terhadap aspek integriti bagi mengenal pasti jika ada pelanggaran tatakelakuan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dalam kalangan anggota terbabit berdasarkan hasil siasatan JSJ.
"JIPS akan turut meneliti elemen kelemahan dari segi penyeliaan dan kemungkinan berlaku penyalahgunaan kuasa, pelanggaran etika atau salah laku yang boleh menjejaskan imej pasukan Polis Diraja Malaysia," katanya ketika dihubungi hari ini.
Aida juga berkata keputusan untuk tindakan tahan kerja akan dipertimbang berdasarkan perkembangan siasatan kes pihak JSJ dan JIPS selaras dengan peruntukan peraturan yang sedang berkuat kuasa.
Semalam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sazalee Adam mengesahkan penahanan 12 anggota polis pelbagai pangkat selepas dipercayai memeras ugut seorang lelaki warga Vanuatu sebanyak RM2 juta.
-- BERNAMA