Skip to main content

Malaysia

Ujian makmal negatif, tiada jangkitan kencing tikus daripada dakwaan tular - JKNS

MARAN, 22 Julai -- Kementerian Kesihatan Pahang mengambil contoh air di tempat rekeasi Lubuk Yu yang ditutup untuk sementara waktu kerana menyebabkan enam kematian akibat jangkitan bakteria leptospirosis (air kencing tikus) dan melioidosis (bakteria disebabkan air dan tanah) selepas operasi menyelamat seorang mangsa pada bulan lepas di sini, hari ini...Operasi pembersihan bersepadu dijalankan hari ini membabitkan 54 anggota dari enam agensi kerajaan iaitu Jabatan Kesihatan, Jabatan Veterinar, Jabatan Perhil
Kenyataan dikeluarkan susulan penularan mesej di media sosial yang mendakwa berlaku kes leptospirosis disyaki berpunca daripada kawasan rekreasi air di Selangor. - Gambar hiasan/Bernama
Advertisement

SHAH ALAM: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesahkan seorang pesakit yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di negeri ini pada 7 Julai lepas kerana disyaki menghidap leptospirosis atau penyakit kencing tikus, didapati negatif jangkitan itu berdasarkan ujian makmal.

JKNS memaklumkan pesakit berkenaan kini berada dalam keadaan stabil dan telah dipindahkan ke wad biasa untuk menerima rawatan lanjut.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan penularan mesej di media sosial yang mendakwa berlaku kes leptospirosis disyaki berpunca daripada kawasan rekreasi air di Selangor.

Menurut JKNS, sebanyak 127 kes leptospirosis yang disahkan melalui ujian makmal dilaporkan di beberapa daerah di Selangor bagi tempoh 2024 hingga tahun ini, namun tiada pola taburan khusus dikenal pasti dan tiada kematian direkodkan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 26 kes atau 21 peratus mempunyai kaitan dengan aktiviti rekreasi air.

"Tiga lokasi rekreasi air di Selangor yang sering dikaitkan dengan kejadian leptospirosis ialah Taman Eko Rimba Sungai Kanching di Gombak, Air Terjun Sungai Congkak di Hulu Langat dan Sungai Ulu Yam di Hulu Selangor," menurut kenyataan itu. hari ini.

JKNS berkata antara langkah kawalan dan pencegahan dilaksanakan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) ialah menjalankan penilaian risiko di lokasi kejadian, mengambil sampel air dan tanah untuk dianalisis dan memastikan penyediaan papan tanda amaran oleh pihak berkuasa tempatan atau pengusaha premis.

PKD turut melaksanakan kerja-kerja pembersihan persekitaran secara berkala bagi mengurangkan risiko penularan penyakit leptospirosis.

Menurut kenyataan itu, leptospirosis merupakan penyakit zoonosis disebabkan bakteria Leptospira dan boleh berjangkit daripada haiwan kepada manusia, dengan tikus sebagai pembawa utama.

Jangkitan boleh berlaku apabila seseorang terdedah kepada air, tanah atau makanan tercemar dengan air kencing haiwan yang dijangkiti, terutama melalui luka pada kulit atau membran mukus seperti mata, hidung dan mulut.

Sehubungan dengan itu, JKNS menasihati orang ramai supaya sentiasa menjaga kebersihan kawasan rekreasi, tidak membuang sampah merata-rata, mengelakkan aktiviti air sekiranya mempunyai luka terbuka atau menutup luka dengan pembalut kalis air, selain tidak bermain atau meredah air bertakung terutama selepas banjir.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak meminum atau menggunakan air sungai yang tidak dimasak dengan sempurna serta mendapatkan pemeriksaan dan rawatan segera di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala seperti demam, sakit kepala, sakit otot, loya, muntah atau cirit-birit selepas mengunjungi kawasan rekreasi air.

JKNS akan terus memantau situasi penyakit leptospirosis di Selangor secara rapi dan melaksanakan langkah kawalan serta pencegahan bersama agensi berkaitan bagi mengurangkan risiko penularan penyakit berkenaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement