PADANG TERAP:Seekor ular tedung selar sepanjang lima meter masuk ke sebuah rumah sebelum melingkar di atas televisyen di Kampung Pong Manis, Padang Terap, hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Padang Terap, Leftenan (PA) Mohd Shukri Shuib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pemilik rumah berkenaan pada jam 4.44 petang.

Beliau berkata, pemanggil menyedari ular tedung selar sepanjang hampir lima meter itu melingkar di atas televisyen.

"Ketika itu ular berkenaan sedang berada berhampiran seekor kucing berdekatan televisyen. Dia menghubungi APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) kerana bimbang ular itu bertindak agresif," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Shukri berkata, pasukannya mengambil masa hampir 10 minit untuk menangkap ular tedung selar berkenaan yang agresif dan cuba menyerang serta mematuk anggota.

Beliau berkata, ular tedung selar seberat 25 kilogram (kg) itu berjaya ditangkap menggunakan peralatan khas menangkap ular.

Ular tedung selar itu kemudian dibawa ke pejabat APM Padang Terap sebelum diserahkan kepada PERHILITAN.