Skip to main content
Advertisement

Malaysia

UM lakar kejayaan, universiti Malaysia pertama tembusi kelompok 200 terbaik dunia

71737495917_UniversitiMalaya.jpg
UM akan memanfaatkan momentum berkenaan bagi memperkukuh sumbangannya kepada Malaysia serta memperluas impak di peringkat antarabangsa. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) muncul sebagai universiti Malaysia pertama menembusi kelompok 200 terbaik dunia dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings, apabila menduduki tempat ke-194 bagi edisi 2027.

Pencapaian itu menyaksikan universiti tertua di negara ini itu melonjak daripada kedudukan dalam kelompok 351 hingga 400 pada edisi 2023.

Dalam kenyataan hari ini, UM memaklumkan kedudukan itu meletakkan universiti berkenaan dalam kelompok kira-kira 8.5 peratus yang terbaik, daripada 2,297 universiti yang disenaraikan di seluruh dunia tahun ini, selain kekal sebagai universiti peringkat tertinggi di Malaysia dalam THE World University Rankings

Naib Canselor UM Datuk Seri Profesor Dr Noor Azuan Abu Osman berkata pencapaian itu mencerminkan kekuatan bersama seluruh warga universiti, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam landskap pendidikan tinggi global.

“Menembusi kelompok 200 terbaik dunia bukanlah garisan penamat, sebaliknya satu pernyataan hasrat yang menunjukkan UM bergerak dengan lebih yakin, matlamat yang lebih jelas dan semakin relevan di peringkat global.

“Pencapaian ini adalah hasil usaha seluruh warga universiti dan memberikan mesej yang jelas bahawa UM mampu berdiri sebaris dengan institusi terkemuka dunia apabila cita-cita disertai dengan disiplin, bakat dan matlamat bersama,” katanya dalam kenyataan itu.

Noor Azuan berkata UM akan memanfaatkan momentum berkenaan bagi memperkukuh sumbangannya kepada Malaysia serta memperluas impak di peringkat antarabangsa, khususnya melalui penyelidikan dan pembangunan graduan agar bersedia menghadapi keperluan masa depan.

Beliau turut menyifatkan kejayaan itu juga hasil sumbangan warga akademik dan profesional UM, penyelidik, mahasiswa, alumni serta rakan strategik, selain sokongan kepimpinan universiti, kerajaan dan komuniti pendidikan tinggi Malaysia.

THE World University Rankings merupakan sistem penarafan universiti berorientasikan penyelidikan yang menilai prestasi institusi berdasarkan lima tonggak utama, iaitu pengajaran, persekitaran penyelidikan, kualiti penyelidikan, industri dan pandangan antarabangsa.

Menurut UM pandangan antarabangsa dan kualiti penyelidikan merupakan antara bidang yang mencatat prestasi terbaik dalam penarafan 2027, mencerminkan perkembangan rangkaian akademik dan kerjasama antarabangsa universiti itu, selain peningkatan jangkauan serta pengaruh penyelidikan yang dihasilkan. 

Universiti itu memaklumkan prestasi dalam tonggak penilaian lain turut mencerminkan kedudukannya sebagai universiti penyelidikan komprehensif yang semakin kukuh di peringkat global.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement