Skip to main content

Malaysia

Umat Islam diseru jadikan al-Quran pedoman hidup, neraca kebenaran

NUZUL AL QURAN
Fadillah berkata bahawa Nuzul al-Quran merupakan titik permulaan kepada revolusi ilmu dan pembentukan tamadun, di mana wahyu pertama melalui kalimah ‘Iqra’ (bacalah) menuntut umat Islam membaca, berfikir dan memahami realiti dengan neraca yang betul. - Gambar Facebook Fadillah

KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini diseru agar menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup dan neraca kebenaran dalam menghadapi pelbagai krisis kemanusiaan serta ketidaktentuan dunia moden hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata intipati kitab suci itu bukan sekadar untuk dibaca, malah perlu membentuk cara manusia melihat dan menanggapi dunia, terutamanya ketika berhadapan konflik dan krisis kemanusiaan global.

Advertisement

Beliau memberi contoh sengketa berpanjangan Palestin-Israel, ketegangan di Timur Tengah melibatkan Iran dan Amerika Syarikat, selain ketidakseimbangan kuasa politik, perubahan iklim, kepincangan sosial seperti rasuah, serta ancaman fitnah melalui perkembangan kecerdasan buatan (AI).

"Al-Quran bukan sahaja soal kepentingan membaca kitab ini semata-mata, tetapi pada sejauh mana kita menjadikannya membentuk cara kita melihat dan menanggapi dunia, memandu kita dengan kebenaran (haq) dan menjauhkan kita daripada kezaliman (batil).

"Hanya dengan berpegang kepada al-Quran dan Sunnah, maka kita akan terpelihara daripada kesesatan dunia," katanya sambil mengucapkan selamat menyambut Nuzul al-Quran menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fadillah turut berkata bahawa Nuzul al-Quran merupakan titik permulaan kepada revolusi ilmu dan pembentukan tamadun, di mana wahyu pertama melalui kalimah ‘Iqra’ (bacalah) menuntut umat Islam membaca, berfikir dan memahami realiti dengan neraca yang betul.

"Semoga dengan memperingati peristiwa yang penuh makna ini, kita semua terus mendekatkan diri kepada al-Quran dengan membaca, memahami serta mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian," katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid menerusi hantaran di Facebook berkata peristiwa Nuzul al-Quran adalah peringatan bahawa kebangkitan sesuatu bangsa bermula dengan kekuatan ilmu, iman dan akhlak.

Katanya dalam menghadapi cabaran ekonomi, perubahan sosial dan ujian perpaduan ketika ini, prinsip al-Quran mesti diterjemahkan dalam aspek kepimpinan, pentadbiran serta kehidupan seharian.

"Saya menyeru agar kita semua memperkukuh hubungan dengan al-Quran, membentuk keluarga yang cintakan ilmu dan melahirkan generasi yang berintegriti, berakhlak serta berdaya tahan.

"Semoga Nuzul al-Quran 1447H ini memperbaharui tekad kita untuk terus memimpin dan membina berlandaskan petunjuk Ilahi," katanya.

Umat Islam akan menyambut dan memperingati peristiwa Nuzul al-Quran esok yang merujuk kepada turunnya ayat al-Quran pertama kepada Nabi Muhammad SAW pada malam Jumaat, 17 Ramadan di Gua Hira.

-- BERNAMA

Must Watch Video