Umat Islam perlu kuasai teknologi, bukan sekadar semangat - Jusuf Kalla

Bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla, menegaskan bahawa umat Islam perlu mencontohi negara barat dalam penguasaan teknologi bagi memajukan bangsa dan negara. - Foto Meor Hamzi/ AWANI
KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla, menegaskan bahawa umat Islam perlu mencontohi negara barat dalam penguasaan teknologi bagi memajukan bangsa dan negara.
Ringkasan AI
- Bekas Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla menyeru umat Islam meniru negara Barat dalam penguasaan ilmu dan teknologi untuk memajukan bangsa dan negara.
- Beliau menegaskan kelemahan dunia Islam berpunca daripada ketinggalan dalam inovasi teknologi, bukan kekurangan semangat atau iman.
- Malaysia dan Indonesia disaran memperkukuh kepimpinan yang mendorong inovasi serta membina budaya berasaskan ilmu, usaha dan perubahan.
Jusuf berkata demikian di 3rd World Conference On Islamic History & Civilazation 2025 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada Selasa.
Jusuf turut memaklumkan daripada senarai 10 negara paling tinggi tahap inovasi di dunia, tiada satu pun negara Islam tersenarai.
"Kenapa selalu kalah daripada Israel? Kerana teknologi. Bukan kerana semangat. Israel menggunakan segala macam teknologi untuk memajukan bangsa, dengan sokongan Amerika. Hamas tidak mampu kerana ketinggalan teknologi," katanya.
Beliau menambah bahawa penguasaan teknologi bukan sahaja penting untuk pertahanan, tetapi juga untuk mencipta peluang ekonomi baharu.
"Kalau kita lihat, 10 orang paling kaya di dunia, tujuh daripadanya berkaitan teknologi seperti Mark Zuckerberg, Elon Musk dan Jeff Bezos," ujarnya.
Menurut Jusuf Kalla, Malaysia dan Indonesia mempunyai banyak universiti yang mengajarkan teknologi, namun kepimpinan yang mendorong inovasi masih diperlukan.
"Kita perlukan kepimpinan yang kuat untuk mendorong inovasi dan adaptasi budaya. Budaya bukan hanya menerima takdir, tetapi berusaha mengubah keadaan," katanya.
Beliau menekankan bahawa perubahan hanya berlaku jika masyarakat bersedia untuk beradaptasi dan memanfaatkan ilmu serta teknologi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami